
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menawarkan diskaun 50 peratus ke atas denda lewat bagi tunggakan cukai taksiran menerusi satu promosi khas yang berlangsung dari 1 Februari hingga 31 Mei depan.
Menurut kenyataan MPS, promosi ini membenarkan bayaran ansuran bagi mereka yang memerlukan, namun pembayaran bagi bil terdahulu perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Pembayaran boleh dibuat melalui pelbagai kaedah termasuk di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sarawak, mesin kiosk Servis Sarawak serta secara atas talian melalui JomPAY dan SarawakPay,” kata kenyataan itu.
Bagi mereka yang ingin membuat pembayaran secara fizikal di UTC Sibu, kaunter pembayaran dibuka dari Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 7.00 malam, manakala pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad, operasi bermula dari 8.00 pagi hingga 5.00petang.
Dalam pada itu, MPS menggalakkan orang ramai mendaftar untuk e-Billing, sejajar dengan langkah digitalisasi sejak 2023, iaitu bil cukai taksiran dihantar melalui e-mel kepada pemilik bangunan.
Pengguna boleh mengimbas kod QR yang disediakan untuk mendaftar e-mel mereka bagi tujuan tersebut.
Oleh Tarani Lanting