- Tuntutan hak Sarawak dalam MA63
Tuntutan Sarawak ke atas haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah untuk kepentingan negeri itu semata-mata tetapi turut mengambil kira kepentingan Malaysia, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata rundingan mendapatkan kembali hak yang terhakis sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ini merupakan di antara agenda yang terus diperjuangkan Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam hal berkaitan MA63.
“Kita akan terus memperjuangkannya kerana ini adalah hak kita yang seharusnya dikembalikan, dan bersyukur telah ada venue untuk membincangkan perkara ini. Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) meneruskan Mesyuarat Majlis Khas MA63.
“Kita telah mencapai banyak yang kita tuntut, mana-mana yang masih belum dicapai, komitmen untuk meneruskan perbincangan bagi menyelesaikan masalah-masalah ini diteruskan,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama di pejabatnya baru-baru ini.
Menurutnya perkara diperjuangkan bukan sahaja untuk Sarawak juga mengambil kira kepentingan negara, supaya Malaysia akan sentiasa terus maju dan memiliki semangat perpaduan serta kesepakatan yang tinggi.