De la Fuente sanjung Sepanyol sebagai pasukan terbaik dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KETUA jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente (kiri), mendengar arahan daripada pembantu jurulatihnya, Juanjo Gonzalez, ketika aksi separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol berlangsung di Stadium Dallas, Arlington, pada 14 Julai 2026. Foto AFP

ARLINGTON, Amerika Syarikat: Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, menyifatkan anak buahnya sebagai “pasukan terbaik di dunia” selepas menewaskan Perancis 2-0 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia pada perlawanan 3.00 pagi tadi (waktu Malaysia).

De la Fuente, yang sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa Sepanyol merupakan pasukan terbaik dalam kejohanan itu, melahirkan rasa bangga apabila La Roja mempamerkan persembahan cemerlang untuk menewaskan Perancis sekali gus mara ke perlawanan akhir Ahad ini.

Kejayaan itu sekali lagi membuktikan kebijaksanaan taktikal pengendali berusia 64 tahun itu, yang sebelum ini membawa La Roja muncul juara Kejohanan Eropah 2024, selain mencatat kemenangan ke atas Perancis dalam tiga pertemuan kompetitif berturut-turut.

KETUA jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, memberikan arahan kepada pemainnya dari tepi padang ketika aksi separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol berlangsung di Stadium Dallas, Arlington, pada 14 Julai 2026. Foto AFP

“Kami memulakan perjalanan ini hampir empat tahun lalu dengan satu falsafah dan kami kekal berpegang teguh pada falsafah tersebut sehingga berjaya melangkah ke tahap ini,” kata de la Fuente.

“Hari ini kami berdepan dengan salah satu pasukan kebangsaan terbaik di dunia, namun mereka berhadapan dengan pasukan terbaik di dunia. Itulah perbezaannya,” katanya.

De la Fuente kini berpeluang membawa Sepanyol beraksi dalam perlawanan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak muncul juara pada edisi 2010.

“Para pemain ini sememangnya layak menerima segala penghargaan. Hari demi hari mereka membuktikan komitmen, semangat berpasukan, sikap tidak mementingkan diri serta bakat yang dimiliki.

“Mereka menjadikan sesuatu yang sukar kelihatan mudah,” katanya. – AFP