KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memandang serius tindakan seorang individu yang dipercayai melakukan aksi berbahaya dengan terjun dari Jambatan Darul Hana, seperti yang tular menerusi video di media sosial sejak semalam.
DBKU dalam satu hantaran Facebook memaklumkan, video berdurasi kira-kira 10 saat itu memaparkan aksi ekstrem yang bukan sahaja mengancam keselamatan dan nyawa individu terbabit, malah berpotensi menggalakkan perlakuan tidak bertanggungjawab serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Menurut kenyataan itu, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang boleh mengancam keselamatan awam, menjejaskan ketenteraman orang ramai serta mencemarkan imej kemudahan awam yang menjadi mercu tanda dan kebanggaan bandar raya Kuching.
“Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat pada 24 Julai 2026, 2.11 petang bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
DBKU berkata, tindakan sedemikian juga boleh disifatkan sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan berkaitan kacau ganggu awam (public nuisance) dan, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan atau mengenali individu terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada PDRM atau menghubungi DBKU.
Menurut DBKU, kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara serta mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.




