KUCHING: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhasrat mencontohi konsep penganjuran Festival Makanan Kuching selepas melihat kejayaannya dalam merancakkan ekonomi setempat, mempromosikan budaya makanan serta menggalakkan penyertaan golongan belia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, lawatan kerja ke festival itu bertujuan meneliti keseluruhan ekosistem penganjuran, bukan sekadar festival makanan semata-mata, malah bagaimana ia menghubungkan rantaian daripada pengeluaran hasil pertanian sehingga kepada pemasaran.
Menurutnya, pengalaman pertama mengunjungi Festival Makanan Kuching ketika temasya SUKMA sebelum ini memberi gambaran positif terhadap konsep festival yang unik, bersih dan dipenuhi tenaga golongan muda.
“Ini kali kedua saya datang ke Festival Makanan Kuching. Kali pertama ketika SUKMA selepas anak-anak saya melihatnya di TikTok.
“Apabila saya mengambil alih portfolio Wilayah Persekutuan, saya memaklumkan kepada DBKL mengenai festival ini dan mencadangkan supaya mereka datang melihat sendiri bagaimana ia dianjurkan kerana terdapat banyak idea segar yang diketengahkan, selain setiap gerai menawarkan keunikan tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Festival Makanan Kuching di pekarangan Dewan Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, hari ini.
Hannah berkata, lawatan itu turut disertai Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud bersama pegawai pelesenan dan pegawai yang mengendalikan festival di DBKL bagi mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai pelaksanaan festival tersebut.

Beliau berkata, terdapat pelbagai aspek yang boleh diterokai melalui kerjasama antara MBKS dan DBKL termasuk pengurusan tempat makan terbuka, pengurusan sisa, pelesenan perniagaan serta pembangunan pasar tani.
“Di Kuching, masyarakatnya berbilang kaum dan Kuala Lumpur juga mempunyai kepelbagaian yang sama. Jadi terdapat banyak idea dasar yang boleh dipelajari dan dikongsi bersama.
“Kita juga melihat bagaimana satu konsep mempromosikan budaya makanan mampu mengaktifkan pelbagai sektor ekonomi daripada pertanian sehingga kepada pemasaran,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bagi membincangkan penganjuran konsert serta usaha memperkemas prosedur operasi standard (SOP) di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Fadlun berkata, konsep Festival Makanan Kuching merupakan sesuatu yang baharu bagi DBKL dan berpotensi untuk disesuaikan di ibu negara.
“Setakat ini pengalaman kami sangat baik. Kami masih di pertengahan lawatan, tetapi apa yang kami lihat ini merupakan sesuatu yang baharu bagi Kuala Lumpur.
“Mungkin kita boleh belajar daripada MBKS untuk mengadaptasi konsep ini di Kuala Lumpur. Tahniah kepada MBKS atas penganjuran festival ini,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat




