
SANTUBONG: Persembahan bertenaga penyanyi legenda negara, Dato’ M.Nasir, menjadi kemuncak malam pembukaan Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) 2026 apabila beliau berjaya memukau ribuan pengunjung yang membanjiri Kampung Budaya Sarawak, di sini, malam tadi.
Tampil sebagai artis utama pada malam pertama festival berprestij itu, Dato’ M. Nasir menghangatkan suasana dengan rangkaian lagu malar segar seperti Hati Emas, Gerhana, Tanya Hud Hud, Sahabat Gua, Apokalips, Mantera Semerah Padi, Raikan Cinta dan Ada, yang mengundang sorakan serta nyanyian bersama daripada para penonton.

Hari pertama festival yang memasuki edisi ke-29 itu membuka tirainya dalam suasana meriah dengan alunan muzik dari pelbagai pelosok dunia bergema mengisi setiap ruang Kampung Budaya Sarawak.
Berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Jun ini, RWMF 2026 membawa tema ‘Regenerasi: Akar dan Irama’, yang menonjolkan hubungan antara warisan budaya dan ekspresi muzik kontemporari menerusi platform antarabangsa.
Pentas malam pembukaan turut diserikan dengan persembahan artis dan kumpulan muzik dari pelbagai negara, antaranya Korrontzi dari Basque Country, Sepanyol; Insun Park & Generals dari Korea Selatan; Ta’ Dan dari Sarawak; serta Muzikal Antarabangsa Benin yang mewakili Benin dan Perancis.

Gabungan rentak tradisional dan moden yang dipersembahkan oleh para artis berkenaan bukan sahaja mempamerkan keunikan budaya masing-masing, malah mencerminkan kepelbagaian muzik dunia yang menjadi identiti utama festival tersebut.
Sejak diperkenalkan pada 1998, RWMF terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara festival muzik dunia paling berprestij di rantau ini dengan menghimpunkan pemuzik dari pelbagai negara dalam suasana hutan hujan tropika yang unik di kaki Gunung Santubong.
Oleh Norman B