
NIAH: Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni, telah mengadakan lawatan ke tapak cadangan pembinaan baharu Klinik Kesihatan (KK) Sepupok, semalam.
Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan (KKM), klinik baharu itu dijangka menyediakan persekitaran rawatan yang lebih kondusif untuk penduduk setempat.
Fasiliti tersebut bakal menggabungkan Klinik Kesihatan dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KIA) dalam satu bangunan yang direka khas bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta keselesaan pesakit.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan dalam meningkatkan akses serta mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar.
Antara perkhidmatan yang bakal ditawarkan termasuk Unit Pesakit Luar, Unit Kesihatan Ibu dan Anak, perkhidmatan penjagaan luka, radiologi, serta perkhidmatan kecemasan.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Dato’ Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Veronica Lugah.
Oleh Adum Liu