
KUALA LUMPUR, 27 Sept -- Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh diikuti menerusi siaran langsung melalui telefon pintar hari ini. RMK12 bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang, ketika negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik COVID-19. Berobjektifkan Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan, RMK12 bukan hanya untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya membolehkan rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara akan diperkenal kerajaan bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif bagi tempoh 2021-2025 itu termasuk penambahbaikan kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan selain melibatkan usaha mempertingkatkan ketenteraman awam.
“Keselamatan rakyat dan kedaulatan negara adalah asas bagi memastikan keamanan dan kestabilan Malaysia.
“Ia juga merangkumi inisiatif pengukuhan keselamatan dan pertahanan siber selain menjaga kebajikan anggota,” katanya semasa membentangkan RMK-12 di Parlimen semamlam.
Beliau berkata, langkah lebih tegas turut akan dilambil kerajaan untuk melaksanakan pelan menyeluruh, dan memperkukuh Operasi Benteng (Op Benteng) bagi usaha mengekang pendatang tanpa izin.
Dalam tempoh lima tahun mendatang, Ismail Sabri berkata, pelbagai projek termasuk Marine Police Sea Monitoring System di lima wilayah maritim, pembinaan Bare Base Tentera Udara Bintulu di Sarawak akan dilaksana.
“Ia juga meliputi pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak di Melaka dan peningkatan keupayaan aset maritim,” katanya.
Beliau berkata, kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan kem Pasukan Gerakan Am di Beluran, Sabah akan siap dibina dalam tempoh RMK12.
“Kerajaan turut menjamin kebajikan anggota tentera dan penguat kuasa terbela dengan penyediaan 10,200 unit rumah keluarga angkatan tentera dan kuarters yang sedang dibina dan boleh diduduki dalam tempoh RMK12,” katanya. — Bernama