Dari Sarawak ke Surabaya, Kimi Tomas pacu kolaborasi kreatif Malaysia–Indonesia menerusi ‘Mendonia’

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Anak Bumi Kenyalang, Kimi Tomas, terus melakar langkah dalam industri kreatif apabila menerajui produksi Mendonia, sebuah karya muzik hasil kolaborasi Malaysia–Indonesia yang menjalani proses rakaman dan penggambaran di Surabaya, Indonesia.

Mendonia dipersembahkan oleh penyanyi Malaysia, Iqa Helmy, dengan muzik ciptaan Epep Kendang dan lirik oleh Cindy Marenta.

Karya berkenaan diterbitkan oleh Kimi Tomas Empire, Malaysia, manakala penerbitan di Indonesia dikendalikan Epep and Friends Production (EFS), sekali gus menghimpunkan barisan kreatif dari dua negara serumpun.

Lebih menarik, Kimi bukan sekadar terbabit sebagai penerbit, malah memainkan peranan penting sebagai Penerbit Eksekutif (Executive Producer) menerusi Kimi Tomas Empire dan turut bertindak sebagai Pengarah bagi video Mendonia.

Menurut Kimi, penglibatannya dalam produksi berkenaan menjadi satu perkembangan baharu dalam perjalanan kerjaya yang sebelum ini merangkumi bidang perniagaan, pemasaran, pertandingan ratu cantik, pengurusan acara, pembangunan bakat dan hiburan.

Katanya, pengalaman dalam pelbagai bidang itu kini dikembangkan ke arena produksi muzik dan kerjasama kreatif antarabangsa, khususnya menerusi projek yang mampu mempertemukan bakat serta kepakaran Malaysia dan Indonesia.

“Mendonia bukan sekadar sebuah lagu. Ia merupakan jambatan kreatif antara Malaysia dan Indonesia.

“Saya percaya kolaborasi terbaik terhasil apabila kita menggabungkan bakat, budaya dan perspektif yang berbeza untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dari aspek muzik, Epep Kendang dan Cindy Marenta bertanggungjawab terhadap komposisi serta penulisan lirik, manakala proses rakaman dilaksanakan di studio EFS di Indonesia.

Bagi produksi video pula, pasukan Epep and Friends Production mengendalikan aspek produksi dan busana, selain Epep Kendang dan Cindy Marenta turut terlibat sebagai pengendali kamera, Pengarah Fotografi (D.O.P) dan penyunting.

Pemilihan Surabaya sebagai lokasi rakaman dan penggambaran turut memberikan peluang kepada pasukan produksi Malaysia untuk bekerjasama secara langsung dengan penggiat kreatif Indonesia, sekali gus memperkayakan proses penghasilan karya melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran.

Gabungan Iqa Helmy sebagai penyanyi utama bersama Epep Kendang dan Cindy Marenta dalam aspek muzik, lirik, rakaman serta produksi video menghasilkan sebuah karya yang menggabungkan elemen muzik kontemporari dengan nilai budaya dua negara serumpun.

Bagi Kimi yang merupakan anak jati Saratok itu menjelaskan, kerjasama tersebut turut membuktikan potensi anak Sarawak untuk meneroka peluang lebih luas di luar negeri serta membina jaringan profesional di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sebagai anak Bumi Kenyalang, peranan Kimi sebagai Penerbit Eksekutif dan Pengarah memperlihatkan bahawa bakat Sarawak bukan sahaja mampu menyerlah di hadapan kamera, malah berupaya memimpin aspek kreatif, penerbitan dan pembangunan kandungan.

Mendonia juga menjadi antara langkah penting dalam hala tuju Kimi untuk meneroka lebih banyak projek produksi serta kerjasama hiburan antarabangsa pada masa hadapan.

Kolaborasi Malaysia–Indonesia itu akhirnya membawa mesej lebih besar bahawa muzik dan kreativiti mampu menjadi penghubung antara masyarakat, budaya dan industri, tanpa dibatasi sempadan negara.

Daripada Sarawak ke Surabaya, Kimi Tomas bukan sekadar membawa nama anak Bumi Kenyalang ke pentas serantau, malah tampil sebagai peneraju produksi yang menghubungkan bakat Malaysia dan Indonesia melalui sebuah karya kreatif.

Oleh Adi Safarman