KUCHING: Bermula sekadar mengisi masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), minat terhadap perlumbaan simulasi akhirnya membawa Jeff Tan Qi Rui, 16, ke pentas Sukan Malaysia (Sukma), sebelum pulang dengan pingat emas untuk Sarawak pada edisi kali ini.
Bagi pelajar St Joseph Private School itu, kejayaan dalam acara perlumbaan ketahanan pada Sukma XXII Selangor 2026 cukup bermakna selepas beliau sebelum ini meraih pingat perak pada edisi 2024 di Sarawak.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, pengurus pasukan, Encik Darren, Encik Afiq serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya. Saya sangat gembira dan terkejut kerana tidak menyangka akan meraih pingat emas.”
“Kerja keras kami berbaloi. Kami bekerja sangat keras untuk perlumbaan ketahanan ini,” katanya ketika ditemui pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawa, di sini, semalam.

Pada Sukma 2024, Jeff bersama Muhammad Hamdany Abdul Hamid meraih pingat perak dalam acara Double Team Race, sebelum kembali dua tahun kemudian dengan pengalaman lebih matang untuk membantu Sarawak menukar warna pingat kepada emas.
Kali ini, Jeff bergandingan bersama Aaron Richard, Genevieve Henrietta Ooi dan Cindy Cheng Ming En dalam acara E-Simulator Racing (Endurance Race), sekali gus membantu Sarawak menewaskan Selangor untuk emas.
Lebih bermakna, kejayaan pasukan itu turut melakar sejarah apabila Sarawak akhirnya meraih pingat emas sulung dalam e-Sukan pada Sukma selepas tiga edisi menanti.
Namun, peningkatan Jeff tidak datang dengan mudah apabila beliau menjalani latihan sehingga sembilan jam sehari, enam hari seminggu selama kira-kira dua bulan sebelum Sukma, dengan Ahad diperuntukkan sebagai hari rehat.
Dalam tempoh sama, beliau tetap perlu mengimbangi latihan dengan tanggungjawab sebagai pelajar, termasuk menggunakan masa lapang untuk mengulang kaji pelajaran yang tertinggal.
Perjalanan Jeff dalam e-Sukan pula bermula seawal usia 10 tahun apabila beliau mencuba sim racing ketika PKP kerana banyak menghabiskan masa di rumah.
Sokongan keluarga turut menjadi pencetus perjalanan Jeff dalam e-Sukan apabila bapanya mendaftarkan beliau menyertai sesi pemilihan pada 2024 tanpa pengetahuannya.
Tidak menyangka percubaan itu menjadi titik perubahan, Jeff akhirnya terpilih dan mula serius mengembangkan bakatnya dalam bidang berkenaan.
Bagi Cindy, 15, kejayaan itu juga bermula secara santai apabila pada awalnya beliau hanya bermain untuk suka-suka sebelum mendapat peluang menyertai pemilihan.
“Saya sangat gembira dan bersyukur. Saya mahu berterima kasih kepada jurulatih, ibu bapa, SESA, MSNS dan semua yang menyokong saya.
“Pada awalnya saya tidak tahu pun saya akan menyertai. Saya hanya bermain untuk suka-suka, kemudian tiba-tiba menyertai dan terpilih,” katanya.
Sokongan keluarga menjadi antara pendorong utama Cindy untuk terus serius dalam bidang berkenaan, selain latihan berkala di pusat latihan di Podium Kuching.
Kini, selepas merasai pengalaman bergelar juara Sukma, Cindy mahu terus mengejar lebih banyak emas, manakala Jeff sudah meletakkan sasaran lebih tinggi pada edisi akan datang.
“Saya mahu menjadi yang terbaik. Sasaran saya ialah dua emas pada Sukma akan datang,” kata Jeff.
Daripada permainan yang bermula untuk mengisi masa lapang, Jeff dan Cindy kini menjadi sebahagian daripada generasi muda e-sukan Sarawak yang membuktikan bahawa minat boleh berkembang menjadi pencapaian apabila disertai disiplin, latihan dan sokongan berterusan.
Bagi mereka, emas Sukma XXII bukan penamat, sebaliknya pembakar semangat untuk terus mengejar kejayaan, dengan Sukma 2028 di Kelantan menjadi pentas seterusnya untuk merealisasikan sasaran lebih besar.
Turut hadir pada program berkenaan, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim dan ADUN Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang, yang turut memberi sokongan terhadap usaha memperkasa golongan muda menerusi pembangunan bakat, inovasi dan e-Sukan sebagai sebahagian daripada ekosistem digital Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi





