
MIRI: Dapur rumah sewa di tingkat satu bangunan kedai di Jalan Helenium di sini terbakar dalam kejadian pagi tadi, namun api terpadam dengan sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar 8.06 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral digerakkan ke lokasi dan tiba dalam tempoh kira-kira dua minit.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kebakaran berlaku di bahagian dapur rumah sewa berkenaan.
“Bagaimanapun, api didapati telah padam sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba, justeru tiada operasi pemadaman dijalankan.
“Pasukan hanya melakukan pemantauan serta memastikan keadaan selamat dan tiada risiko kebakaran berulang,” katanya.
Operasi yang bermula sekitar 8.10 pagi itu ditamatkan tidak lama kemudian selepas keadaan disahkan terkawal sepenuhnya.
Oleh Liong Chai Ling