KUCHING: Naib Presiden Parti Bersatu Bumiputera (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengkritik Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak yang sentiasa mengubah pendirian semata-mata ingin mengikuti sentimen masyarakat dengan harapan untuk meraih undi.
Menurutnya, ketidaktentuan DAP Sarawak mengenai pemilihan calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi kembali kuasa Kerajaan Persekutuan menunjukkan bahawa mereka sanggup menyokong seseorang dari sebuah negeri Borneo menjadi perdana menteri demi mendapatkan sokongan daripada pengundi tempatan.
“Pada Februari lalu, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen telah menyatakan sokongannya kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri tetapi kemudian menyatakan sokongan kepada Shafie Apdal.
“Ini juga untuk menunjukkan sokongannya kepada DAP Sabah, yang berada dalam pemerintahan Sabah sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata ia menunjukkan kepimpinan DAP Sarawak keliru dan tidak dapat memutuskan calon mana yang akan disokong.
“Pada Februari lalu di sebuah majlis untuk menyambut kedatangan Anwar Ibrahim ke Sarawak, Chong mengatakan bahawa agenda utama parti adalah untuk beliau (Anwar) menjadi perdana menteri.
“Ini adalah sebab mengapa DAP Sarawak memutuskan untuk mengundang Anwar ke acara ini untuk menunjukkan sokongan mereka.
“Namun, kemudian Chong telah menyatakan bahawa DAP Sarawak akan menyokong Shafie sambil menambah bahawa sebagai rakyat borneo tidak ada alasan mengapa mereka tidak harus menyokong sesama rakyat Malaysia Timur sebagai perdana menteri di masa depan,” ujarnya.
Oleh Zarina Abdullah