SKRANG: Menteri Muda Kesejahte- raan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis membawa perkhabaran gembira untuk enam rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di sini iaitu kelulusan permohonan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang menelan kos ke- seluruhan sebanyak RM700,000.
Antara penerima projek termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Skrang, Rumah Belai Antot dari Brangan Ili, Rumah Thomas Ramba dari Brangan Ulu, Romeneo Tugang dari Nanga Skrang Ulu, Rumah James dari Tekat Ranggie, Rumah Madeline Banda dari Teluk Sebuyau dan Rumah Andrew Layau, Langkong di Nanga Skrang.
Sebanyak RM250,000 daripada jumlah tersebut telah dilulus untuk SK Nanga Skrang bagi tujuan pembinaan dewan serbaguna, sekali gus merealisasikan impian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu untuk mendapatkan kemudahan berkenaan.
“RM100,000 turut dilulus untuk Rumah Thomas Ramba di Brangan Ulu untuk projek naik taraf jalan halaman rumah panjang mereka dengan RM50,000 lagi dilulus untuk Rumah Belai Antot di Brangan Ili juga bagi tujuan yang sama.
“Kerajaan juga turut meluluskan sejumlah RM100,000, masing-masing untuk projek membina perparitan serta benteng di Rumah Romeneo Tugang di Nanga Skrang Ulu dan Rumah James di Tekat Ranggie,” kata Harden.
Ketika mengadakan Program Jelajah Lawatan Tapak Projek RTP di sini, beliau juga memaklumkan bahawa sejumlah RM50,000 dilulus untuk membina jalan akses di antara rumah panjang dan gereja di Rumah Madeline Banda, Teluk Sebuyau.
“Akhir sekali adalah melaksana projek membaik pulih Rumah Andrew Layau dari Langkong, Nanga Skrang dengan sejumlah RM50,000 turut dilulus di bawah RTP 2021 ini bagi menjayakan usaha berkenaan.
“Jabatan Saliran dan Perparitan (DID) Sri Aman akan menjadi agensi pelaksana untuk projek di Nanga Skrang Ulu dan Tekat Ranggie, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman pula bertindak sebagai agensi pelaksana untuk baki projek yang lain,” kata beliau.
Justeru, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memohon penduduk agar memberi kerjasama kepada kontraktor agar projek itu dapat dilaksana dengan lancar.
Oleh VALENTINE NGUMBANG