
BINTULU: Semua dana kerajaan yang disalurkan melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) perlu diurus secara telus dan diaudit bagi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penerima diwajibkan menyerahkan laporan penggunaan dana kepada Unit Pemantauan dan Pelaksanaan (SIMU) sebagai langkah memastikan setiap perbelanjaan dibuat dengan berkesan.
“Semua projek tersebut akan diaudit dan malah bagi PPRMS, bukti bergambar perlu dikemukakan selepas projek siap sebelum peruntukan baharu disalurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena yang melibatkan peruntukan berjumlah RM926,400 kepada 57 penerima di Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu di sini, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu, dana kerajaan tidak boleh dianggap sebagai bantuan kebajikan semata-mata kerana tujuan asalnya adalah untuk menyokong pelaksanaan projek pembangunan komuniti, memperbaiki rumah daif serta memenuhi keperluan asas masyarakat.
“Dana ini bukan duit wakil rakyat, ia adalah duit kerajaan. Kita tidak boleh jadikan ia sebagai bantuan kebajikan semata-mata.
“Ia mesti diurus dengan penuh tanggungjawab dan memberi impak kepada masyarakat,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menggunakan peruntukan itu secara berhemah terutama bagi menangani isu mendesak seperti hakisan tanah, infrastruktur asas dan pembangunan sosio-ekonomi, bukannya untuk perkara kecil.
Tegasnya, kerajaan akan terus komited menyalurkan bantuan setiap tahun, namun rakyat juga perlu mempunyai daya usaha sendiri agar tidak terlalu bergantung kepada dana kerajaan.
Oleh Carolyne Utih