KUCHING: Hasil kutipan daripada pencukaian kayu balak di negeri ini adalah RM 1.561 bilion sepanjang lima tahun lepas.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti & Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, hasil daripada sektor perhutanan merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negeri ini.
“Sejak dahulu lagi, sektor perhutanan memainkan peranan penting kepada Sarawak. Salah satu peranan ialah menjana pendapatan melalui pengambilan hasil cukai terhadap kayu balak dan hasil hutan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Integriti Jabatan Hutan Sarawak dan Pra Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi Jabatan Hutan Sarawak 2021-2025 di sebuah hotel terkemuka, semalam.
Tambahnya, sektor perhutanan tidak hanya menyumbang kepada hasil ekonomi negeri, malah ia turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak Sarawak.
“Dianggarkan seramai 100,000 orang terlibat dalam sektor pembalakan dan industri perkayuan di negeri ini,” ujarnya.
Jelasnya, pengurusan hutan yang berintegriti amatlah dititikberatkan bagi mengekal keseimbangan ekosistem hutan supaya anak cucu masih boleh menikmati keindahan alam dan dapat mengenali flora dan fauna.
“Dengan pengurusan hutan yang mampan yang dipelopori oleh Jabatan Hutan Sarawak melalui Persijilan Hutan adalah satu inisiatif yang amat kita banggakan. Ini bagi memastikan pengeluaran hasil hutan dapat dikekalkan secara berterusan,” katanya.
Ujarnya, Kerajaan Negeri kini mengutamakan kepada aktiviti restorasi hutan bagi menjamin kelestarian alam sekitar yang kondusif, baik untuk semua makhluk yang menghuni muka bumi.
“Jika hutan kita tidak diurus dengan baik dan tidak berintegriti, maka kita akan mengalami kesan yang sebaliknya iaitu udara kotor, air tercemar, kesan rumah hijau, hakisan tanah, banjir kilat dan lain-lain,” tambahnya.
Beliau turut berterima kasih atas komitmen Jabatan Hutan Sarawak menyahut seruan Ketua Menteri untuk membudayakan amalan integriti, sekaligus membasmi gejala rasuah di setiap agensi dan jabatan di negeri ini.
“Inisiatif yang dilakukan ini jelas menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memastikan warganya bebas daripada jenayah rasuah, terutamanya yang melibatkan penjawat awam negeri ini khasnya.
“Kita komited dengan visi kita iaitu untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju berintegriti tinggi pada tahun 2030,” tegasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN