KUCHING: Terdapat satu kes positif Covid-19 dilaporkan di Daerah Sibu semalam merupakan rakyat tempatan yang baharu pulang dari Arab Saudi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kes berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat semalam adalah sebanyak 573 kes.
“Kes ke-573 ini merupakan warganegara Malaysia yang bekerja sebagai jurutera di salah sebuah Syarikat Minyak dan Gas di Arab Saudi.
“Kes telah balik ke Malaysia pada 3 Julai lalu dari Arab Saudi dengan menaiki Saudi Arabia Airline melalui KLIA,” katanya dalam sidang media semalam.
Uggah memberitahu kes tersebut telah menjalani saringan ujian RTK Antigen Covid-19 pada 3 Julai 2020 setibanya di KLIA dan keputusan RTK Antigen Covid-19 adalah negatif.
“Sebelum balik ke Sibu, kes menginap semalam di Tune Hotel KLIA pada 3 Julai seterusnya kes telah balik ke Sibu dengan menaiki penerbangan Air Asia pada 4 Julai dan telah dibawa terus ke pusat kuarantin di Sibu.
“Kes telah diambil swab pada 6 Julai dan keputusan ujian rT-PCR dari Makmal Hospital Sibu adalah positif Covid- 19 pada 7 Julai 2020,” ujarnya kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala Covid-19 dan telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada hari yang sama untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Uggah memaklumkan juga tiada kes baru yang telah sembuh dan discaj dari hospital semalam.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj kekal sebanyak 551 orang atau 96.16 peratus,” ujarnya.
Oleh Diyana Samsuddin