TIGA invididu diuji positif Covid-19 di Cologne dan akan dikuarantin selama 14 hari, jelas kelab Bundesliga itu semalam sekali gus memberi tamparan buat saingan bola sepak Jerman yang diharapkan bersambung bulan ini.
“Cologne melakukan ujian Covid-19 kepada seluruh pasukan dan staf kejurulatihan termasuk staf sokongan Khamis lalu. Tiga disahkan positif manakala yang lain bebas daripada jangkitan.
“Selepas penilaian kes berkenaan oleh pihak kesihatan yang bertanggungjawab, tiga individu berkenaan yang diuji positif akan menjalani kuarantin 14 hari.
“Cologe tidak akan mendedahkan sebarang nama bagi menjaga hak peribadi pesakit,” kata kelab berkenaan.
Kelab berkenaan akan meneruskan latihan seperti biasa dalam persediaan untuk saingan Bundesliga manakala ujian seterusnya bakal dilakukan berikutan protokol kesihatan dan keselamatan liga.
“Kami sekarang melihat kepada aspek kehidupan seharian dengan konsep mengesan dan mengurangkan risiko di peringkat awal
“Kami akan memberi keyakinan bahawa konsep ini mampu membolehkan pemain berlatih dengan selamat tanpa sebarang jangkitan,” kata ketua pasukan kesihatan liga Jerman, Tim Meyer.
Bundesliga mensasarkan 9 Mei untuk kembali meneruskan saingan tetapi masih menanti kebenaran daripada pihak kerajaan.
Kelewatan keputusan yang sepatutnya diumumkan minggu ini bermakna liga tidak boleh disambung sebelum 16 Mei.
Sementara itu, Kesemua 20 kelab Serie A tetap menyatakan keinginan mereka untuk melengkapkan saingan musim ini selepas wilayah Emilia-Romagna menjadi yang pertama membuka ruang untuk berlatih sekali gus melanggar perintah kerajaan.
Sidang video tergempar kelab-kelab Serie A diadakan sejurus selepas Menteri Sukan Itali Vincenzo Spadafora mengumumkan peluang untuk liga bersambung semakin tipis.
Presiden liga, Paolo Dal Pino menyatakan selepas mesyuarat itu beliau bersetuju untuk berdialog dengan pihak kerajaan selepas mendapat sokongan semua kelab.
Spadafora memberi amaran bahawa kerajaan menamatkan saingan musim ini selepas tertangguh sejak 9 Mac jika Persekutuan Bolasepak Itali (FICGC) gagal meyakinkan mereka berkenaan dengan protokol kesihatan dan keselamatan.
Mesyuarat FIGC 8 Mei ini bakal menjadi penentu sama ada saingan akan bersambung atau tidak.
Sementara itu, wilayah Emilia-Romagna memberi pelepasan buat kelab tempatan pasukan Serie A, Bologna, Parma, SPAL dan Sassuolo, untuk menyambung latihan di pusat sukan bermula 4 Mei ini.
Presiden Emilia-Romagno bersetuju membenarkan atlet profesional berlatih bersendirian dengan syarat menjaga penjarakan sosial dan tidak berkumpul beramai-ramai.
Gergasi selatan Napoli turut merancang kembali berlatih selepas cadangan berkenaan aspek keselamatan mereka mendapat sokongan pihak berkuasa tempatan.
Presiden FIGC Gabriele Gravina sebelum ini berkata, membatalkan musim ini akan membunuh bola sepak Itali dengan jangkaan kerugian lebih 800 juta euro (RM3.81 bilion) meliputi hak penyiaran, penajaan, tiket dan pemasaran bakal dihadapi.
Itali mencatat 28,000 korban akibat pandemik Covid-19 dan langkah menamatkan musim dilihat sebagai jalan terbaik ketika ini. – AFP