
KUALA LUMPUR: Sistem MyDigital ID, berpotensi menjadi mekanisme penting dalam membendung jenayah penipuan menerusi ciri keselamatan tinggi yang sukar dipalsukan serta mampu memperkukuh proses pengesahan identiti pengguna.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya telah mengadakan dua sesi libat urus dengan MyDigital ID dan yakin penggunaan platform itu secara menyeluruh, mampu menghalang kegiatan penipuan daripada berlaku.
“Kita percaya apabila menggunakan MyDigital ID sepenuhnya, ia akan menjadi antara (mekanisme) yang boleh menghalang penipuan dalam talian,” katanya pada sidang media selepas Acara Penghargaan Bank Heroes #JanganKenaScam 2026 di Taman Tun Dr Ismail di sini, hari ini.
Mengulas kebimbangan mengenai kebocoran maklumat pelanggan, Rusdi berkata MyDigital ID dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang diyakini mampu mengurangkan risiko pemalsuan identiti.
“Kalau kita tengok dalam MyDigital ID itu, banyak punya ciri-ciri keselamatan dan kita percaya ciri-ciri keselamatan yang ada ini sukar ditiru, maknanya boleh mencegah daripada penipuan.
“Kita dah ada keterlibatan dan cuma sekarang ini yang diusahakan supaya dalam urusan yang digunakan di mana-mana bank itu menggunakan MyDigital ID,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan Membanteras Penipuan Syed Ahmad Taufik Albar berkata integrasi MyDigital ID dengan sistem Kenali Pelanggan Anda (KYC) perbankan, akan membantu usaha membanteras penipuan dengan lebih berkesan.
Syed Ahmad Taufik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank bagaimanapun berkata tiada garis masa khusus bagi pelaksanaan itu, memandangkan setiap bank mempunyai perancangan tersendiri dalam mengadaptasi serta meneroka teknologi berkenaan.
Terdahulu, sebanyak 68 pegawai bank diraikan atas kejayaan mengesan dan menggagalkan cubaan penipuan, yang secara kolektif berjaya menyelamatkan dana pelanggan berjumlah RM139 juta sepanjang tahun lepas. – Bernama