
KUALA LUMPUR: Selepas 47 tahun mewarnai industri muzik tanah air, Datuk M. Nasir membuktikan karya seorang maestro tidak pernah luput ditelan zaman, sebaliknya ia terus mekar di hati peminat tanpa mengira usia.
Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Sabtu lepas, yang juga merupakan hari ulang tahun ke-69 beliau, menjadi saksi karya-karya malar segar artis ini terus hidup dalam jiwa serta ingatan peminat.
Ketika lampu arena dipadamkan, sorakan hampir 13,000 penonton bergema menyambut kemunculan penyanyi legenda itu yang membuka persembahan menerusi Ekspres Rakyat, diikuti Hati Emas, Perjuangan dan Aku Dah Bosan.
Segmen rampai menampilkan Sentuhan Kecundang, Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara, Azura dan Milik Siapakah Gadis Ini mengingatkan penonton sentuhan M. Nasir tidak terhad pada sebuah genre atau seorang penyanyi.
Diiringi barisan pemuzik berpengalaman diketuai pengarah muzik Aznan Alias, setiap karya diberikan susunan baharu tanpa menghilangkan identiti asal.
Antara detik paling mencuri perhatian apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang hadir sebagai tetamu, memenuhi permintaan penonton untuk naik ke pentas berduet bersama-sama M. Nasir menerusi Bagaikan Sakti pada pertengahan konsert.
Kemunculan spontan itu disambut sorakan gemuruh sehingga memenuhi segenap ruang arena.
Suasana penuh nostalgia itu diteruskan dengan kemunculan Datuk Awie yang bergandingan dengan M. Nasir menerusi Ghazal Untuk Rabiah, sebelum legenda rock tanah air itu mengambil alih pentas dengan persembahan solo Istana Menanti.
Penyanyi dan komposer Indonesia Melly Goeslaw kemudian menyuntik semangat Nusantara menerusi duet Suatu Masa dan Fantasia Bulan Madu yang memperlihatkan karya M. Nasir juga merentasi sempadan negara.
Konsert kemudian dihentikan seketika bagi memberi ruang kepada sambutan ulang tahun kelahiran M. Nasir dengan pulut kuning dibawa ke pentas sebelum barisan rakan artis yang hadir berserta ribuan penonton menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu.
Belum sempat keterujaan itu reda, M. Nasir sekali lagi menghadiahkan kejutan apabila menjemput Ziana Zain ke pentas untuk mendendangkan Halaman Asmara, sekali gus melengkapkan himpunan figura besar industri muzik yang bersama-sama meraikan perjalanan seninya.
Menjelang penghujung konsert, Unifi Arena bertukar menjadi lautan suara apabila hampir semua penonton bangun menyanyikan lagu demi lagu dengan M. Nasir antaranya Kembara, Apokalips dan Raikan Cinta.
Malah, ketika mendendangkan lagu terakhir iaitu Mentera Semerah Padi, beliau sempat turun dari pentas untuk mendekati dan meraikan peminat, menghulurkan tangan serta menyanyi bersama-sama mereka dalam satu momen yang menggambarkan hubungan akrab antara seorang legenda dengan pencinta karya-karyanya.
Persembahan yang berlangsung lebih tiga jam itu bukan sekadar susunan lagu atau produksi pentas tetapi menjadi himpunan memori kolektif bersama. – Bernama