KUCHING: China telah melabur lebih RM19.9 bilion merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan solar, keluli dan berasaskan kayu di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelaburan itu telah menjana lebih 10,000 pekerjaan dan memberikan rangsangan yang sihat kepada ekonomi Sarawak.
Oleh itu katanya, hubungan perdagangan antara China dan Sarawak yang semakin meningkat telah mengukuhkan lagi hubungan diplomatik sekali gus membawa manfaat besar kepada kedua-dua wilayah.
Beliau berkata, Persatuan Pengimport dan Pengeksport Pedagang China Kuching memainkan peranan signifikan dalam mempromosikan pertukaran perdagangan antara China dan Sarawak.
”Sejak penubuhannya pada 1976, persatuan ini telah menunjukkan dedikasi berterusan untuk mempromosikan pertukaran perdagangan antara China dan Sarawak.
”Sarawak mempunyai perkongsian strategik dengan China dalam pembangunan ekonomi. Hubungan ini amat penting untuk mencapai matlamat pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sempena sambutan Ulang Tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Republik Rakyat China dan Malaysia dan Pesta Kuih Bulan di sini, malam tadi.
Selain itu, menurutnya hubungan rapat antara Sarawak dan China telah memupuk kerjasama dalam membangunkan modal insan.
”Sarawak mengalu-alukan universiti berprestij yang menubuhkan kampus di negeri ini untuk menyediakan warga kita menghadapi ekonomi global yang semakin berdaya saing dan dipacu inovasi.
”Sebagai contoh, perbincangan sedang dijalankan untuk Universiti Fudan membuka kampus cawangan di Sarawak.
” Kerajaan negeri komited untuk mengubah Sarawak menjadi kuasa tenaga hijau serantau, dan perkongsian kami dengan China adalah penting untuk mencapai wawasan ini,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Harry Jinep; Konsul Jeneral China di Kuching, Xing Wei Ping; Presiden, Persatuan Pengimport dan Pengeksport Pedagang China Kuching, Datuk Yii Ming Tang dan Pengerusi Penganjur majlis, Dennis Tan Hock Beng.
Oleh RYNNA SHA’ERRA