China kendali lebih 100 bilion bungkusan pada 2025

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BEIJING:  Sektor kurier China telah mengendalikan lebih 100 bilion bungkusan setakat ini, menurut data yang dikeluarkan oleh Biro Pos Negara pada Khamis, lapor Xinhua.

Biro itu menyatakan bahawa pencapaian 100 bilion itu dicapai 35 hari lebih awal berbanding pada 2024, menjadikannya tahun kelima berturut-turut China mengendalikan lebih 100 bilion bungkusan.

Seiring dengan pengembangan pasaran pengguna dan e-dagang yang semakin popular, sektor kurier memainkan peranan semakin penting dalam menyokong industri berkaitan serta memacu pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, kata seorang pegawai biro berkenaan.

Sejak awal tahun ini, China telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk merangsang penggunaan. Sebagai contoh, negara itu telah menambah lebih banyak kategori produk dalam program tukar beli barangan pengguna bagi memacu permintaan domestik dan membuka potensi pengguna.

China mengesahkan sokongan terhadap program nasional itu bulan lalu dengan memberi jaminan bahawa pembiayaan akan diteruskan bagi mengekalkan pembayaran subsidi kerajaan sepanjang 2025.

Bagi meningkatkan impak program berkenaan, sektor kurier sedang berusaha menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan mudah dengan sokongan usaha bersama jutaan pekerja industri, kata pegawai itu.

Sektor itu juga akan meningkatkan usaha untuk mengurangkan kos logistik sosial dan membina masyarakat yang lebih cekap menggunakan sumber, tambah pegawai itu.– Bernama-Xinhua

Dua maut dalam nahas helikopter di Kanada

VANCOUVER: Dua maut pada Selasa selepas sebuah helikopter terhempas di kawasan terpencil di luar pantai British Columbia, Kanada, menurut media tempatan,