China keluarkan amaran merah untuk curahan gunung dan bencana geologi

Facebook
WhatsApp
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan pusat senaman awam yang ditenggelami air selepas hujan lebat di perkampungan Taishitun di daerah Miyun, di pinggir Beijing pada 28 Julai 2025. Hujan lebat yang membasahi utara China mencetuskan tanah runtuh yang maut, tebing sungai pecah dan menghanyutkan kereta pada 28 Julai, dengan beribu-ribu orang terpaksa berpindah selama beberapa hari. Foto AFP

BEIJING: China mengeluarkan beberapa amaran merah pada Isnin, memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya curahan gunung dan bencana geologi di beberapa wilayah, lapor Xinhua.

Kementerian Sumber Air dan Pentadbiran Meteorologi China (CMA) bersama-sama mengeluarkan amaran merah bagi potensi berlakunya curahan gunung. Bahagian timur Beijing, utara Tianjin dan timur laut Hebei dijangka menghadapi risiko tinggi banjir gunung dari 8.00 malam Isnin hingga 8.00 malam Selasa.

SEORANG lelaki warga emas membersihkan lumpur di hadapan pasar yang ditenggelami air selepas hujan lebat di kampung Taishitun di daerah Miyun, di pinggir Beijing pada 28 Julai 2025. Hujan lebat membasahi utara China mencetuskan tanah runtuh yang maut, tebing sungai pecah dan menghanyutkan kereta pada 28 Julai, dengan ribuan orang terpaksa berpindah. Foto AFP

Selain itu, amaran jingga turut dikeluarkan bagi risiko banjir gunung di beberapa kawasan di Beijing, Tianjin, Hebei, Mongolia Dalam, Liaoning dan Heilongjiang.

Pihak berkuasa tempatan digesa untuk mempertingkat pemantauan masa nyata, ramalan banjir dan sistem amaran awal, serta langkah pemindahan dan pencegahan risiko.

Secara berasingan, Kementerian Sumber Asli dan CMA turut mengeluarkan amaran merah bagi risiko bencana geologi di bahagian timur laut Beijing dan timur laut Hebei, serta amaran jingga untuk bahagian timur laut Beijing, utara Tianjin, dan timur laut Hebei.

China mempunyai sistem amaran cuaca empat peringkat, dengan merah mewakili tahap amaran paling serius, diikuti oleh jingga, kuning dan biru.– Bernama-Xinhua