
BEIJING: China mengeluarkan beberapa amaran merah pada Isnin, memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya curahan gunung dan bencana geologi di beberapa wilayah, lapor Xinhua.
Kementerian Sumber AirĀ dan Pentadbiran Meteorologi China (CMA) bersama-sama mengeluarkan amaran merah bagi potensi berlakunya curahanĀ gunung. Bahagian timur Beijing, utara Tianjin dan timur laut Hebei dijangka menghadapi risiko tinggi banjir gunung dari 8.00 malam Isnin hingga 8.00 malam Selasa.

Selain itu, amaran jingga turut dikeluarkan bagi risiko banjir gunung di beberapa kawasan di Beijing, Tianjin, Hebei, Mongolia Dalam, Liaoning dan Heilongjiang.
Pihak berkuasa tempatan digesa untuk mempertingkat pemantauan masa nyata, ramalan banjir dan sistem amaran awal, serta langkah pemindahan dan pencegahan risiko.
Secara berasingan, Kementerian Sumber Asli dan CMA turut mengeluarkan amaran merah bagi risiko bencana geologi di bahagian timur laut Beijing dan timur laut Hebei, serta amaran jingga untuk bahagian timur laut Beijing, utara Tianjin, dan timur laut Hebei.
China mempunyai sistem amaran cuaca empat peringkat, dengan merah mewakili tahap amaran paling serius, diikuti oleh jingga, kuning dan biru.– Bernama-Xinhua