JIUQUAN, China: China melakar satu lagi pencapaian penting dalam teknologi roket boleh guna semula selepas berjaya mendaratkan penggalak peringkat pertama roket di darat buat kali pertama.
Roket Zhuque-3 Y2 dilancarkan dari Zon Rintis Inovasi Angkasa Lepas Komersial Dongfeng di barat laut China pada 7.35 pagi Rabu. Selepas pelancaran, penggalak peringkat pertama itu kembali dan berjaya mendarat di sebuah tapak pendaratan di Kaunti Minqin, wilayah Gansu, mengikut prosedur yang dirancang.
Menurut pakar, penerbangan ujian Zhuque-3 yang menggunakan teknologi pendorong oksigen cecair dan metana, badan roket daripada keluli tahan karat serta teknologi pendaratan menegak akan membantu China mempercepat pembangunan gugusan satelit orbit rendah Bumi.
Menurut Pentadbiran Angkasa Negara China (CNSA), China akan terus menggalakkan penggunaan teknologi roket boleh guna semula bagi mengurangkan kos pelancaran satelit dan muatan lain ke angkasa lepas. – Bernama-CMG




