KUALA LUMPUR: Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea FC akan berdepan juara Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT) buat julung kalinya apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Ahad ini.
Perlawanan yang dijadualkan bermula pada 8.00 malam itu menjadi aksi terakhir Chelsea dalam jelajah pramusim Asia-Pasifik (APAC) sebelum kembali ke England bagi memulakan persiapan menghadapi kempen EPL musim 2026/2027.
Ketua Jurulatih Chelsea Xabi Alonso berkata kelab itu teruja untuk beraksi di Johor selepas menerima sokongan luar biasa daripada penyokong sepanjang jelajah di rantau ini.
“Perkara yang baik ialah ke mana sahaja kami pergi di seluruh dunia, sokongan sentiasa ada. Penyokong berusaha bersungguh-sungguh untuk datang menyaksikan kami beraksi. Saya mengenali beberapa individu daripada JDT termasuk Luis Garcia, dan kami tidak sabar untuk beraksi di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Skuad The Blues terus memperkemas persiapan bagi menghadapi musim baharu sepanjang jelajah APAC selepas menentang kelab Itali Juventus pada Festival Bola Sepak Hong Kong dan dijadualkan berdepan AC Milan di Jakarta sebelum berkunjung ke Johor.
Kelab dari London itu turut menyenaraikan pemain baharu seperti Danny Welbeck, Geovany Quenda dan Joao Pedro ke dalam skuad ketika Alonso terus membina tahap kecergasan serta keserasian pasukan menjelang kempen musim baharu.
Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Xisco Munoz menyifatkan perlawanan itu sebagai peluang terbaik buat pemain dan kelab.
“Menentang kelab seperti Chelsea adalah peluang yang sangat baik untuk pemain serta kelab kami, sama ada dari aspek bola sepak mahupun dalam memperluaskan jenama JDT. Kami menghormati pencapaian mereka, namun akan menghadapi perlawanan ini dengan penuh keyakinan serta azam untuk mempamerkan prestasi terbaik.
“Bermain dalam perlawanan pramusim di hadapan penyokong sendiri menjadikan kesempatan ini lebih istimewa,” katanya.
Perlawanan itu menyaksikan pertarungan taktikal antara dua jurulatih dari Sepanyol, apabila Alonso dan Munoz dijangka memanfaatkan pertemuan itu bagi memperkemas lagi persiapan skuad masing-masing.
Sementara itu, Pengarah Urusan TEG Sport Rachael Carroll berkata pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi aksi terakhir jelajah APAC Chelsea mencerminkan reputasi negara yang semakin meningkat sebagai destinasi penganjuran acara bola sepak antarabangsa.
“Jelajah APAC Chelsea telah membawa bola sepak bertaraf tertinggi kepada penyokong di seluruh rantau ini dan kami gembira Malaysia menjadi tuan rumah bagi penutup jelajah itu. Pertemuan pertama antara Chelsea FC dan JDT menjadi detik yang sangat bermakna buat peminat bola sepak dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kehadiran mereka ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menyaksikan malam yang pastinya akan dikenang,” katanya. – Bernama




