
KABONG: Kesungguhan dan semangat tinggi ditunjukkan oleh anak muda Kelab Bola Sepak The Bankers Jabey dari Rumah Rawing mendapat pujian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, selepas pasukan itu kini berdaftar secara sah di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Chee Kadir yang menghadiri sesi randau bersama pasukan berkenaan memuji usaha gigih mereka membangunkan sukan bola sepak di peringkat akar umbi serta komitmen untuk membawa nama Kabong ke pentas yang lebih tinggi.
“Saya amat berbangga dengan kesungguhan pasukan The Bankers Jabey yang bukan sahaja aktif tetapi kini telah berdaftar secara rasmi di bawah KBS.
“Ini menunjukkan semangat profesional dan kesediaan mereka untuk terus maju,” katanya semasa berucap pada sesi randau berkenaan di Rumah Rawing dekat sini semalam.
Sebagai tanda sokongan, beliau turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada pasukan bola sepak tersebut bagi membantu kelangsungan aktiviti sukan mereka.
Selepas itu, Chee Kadir yang ditemani isteri, Datin Meryani Yassin turut menghadiri sesi randau di Rumah Engkasan Wat, Sungai Pasir B, yang disambut meriah oleh Biro Wanita rumah tersebut.
Dalam majlis berkenaan, beliau menyampaikan peruntukan RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Engkasan untuk melaksanakan aktiviti tahunan dan memperkasakan peranan wanita di komuniti setempat.
Chee Kadir berharap kedua-dua penerima peruntukan dapat menggunakan dana tersebut sebaik mungkin demi manfaat dan kemajuan masyarakat Kabong.
Oleh Adi Safarman