KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir ‘melapor diri’ masuk sekolah untuk melihat sendiri kehadiran murid dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari pertama pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong, Rabu lepas.
Kehadiran beliau adalah untuk melihat sendiri pelaksanaan hari pertama sekolah tersebut dibuka selepas lebih tiga bulan bercuti kerana wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa sejak 18 Mac lalu.
Kehadiran beliau pada hari pertama sesi persekolahan untuk tingkatan lima dalam fasa PKPP turut melalui proses imbasan suhu badan dan juga mencatat nama di buku khas yang disediakan. Beliau seterusnya menyambut kedatangan para pelajar ke sekolah berkenaan.
Senario pematuhan kepada SOP PKPP jelas dilaksanakan sebaik mungkin oleh pihak sekolah dengan para guru dan pelajar melalui proses saringan imbasan suhu di pintu masuk utama SMK Kabong sebelum bergerak ke kawasan sekolah.
Pengetua SMK Kabong, Iman Joni yang memberitahu sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari pertama semalam, dilaksanakan seperti biasa tetapi dalam situasi norma baharu iaitu mengikut SOP PKPP yang ketat sebagaimana dianjurkan oleh pihak kerajaan.
“YB Chee Kadir turut meninjau keadaan susun atur katil-katil pelajar di asrama dan melihat kawasan persekitaran sekolah bagi melihat sendiri keadaan fizikal sekolah.
“Beliau hadir ke SMK Kabong seawal jam 6.30 pagi dan saya rasa teruja melihat kesanggupan beliau turun padang ke sekolah kami.
“Saya bagi wakil pihak sekolah mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kesudian beliau untuk datang dan kita amat berbangga mempunyai wakil rakyat seperti beliau,” ujarnya.
Hadir bersama ialah Inspektor Zuraini Hamzah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Saratok, Sarjan Mejar Lidam Unting dari Balai Polis Kabong, Ustaz Shahrizan Sharbini dan Mohamad Tarmimie Ali dari Pejabat Pendidikan Daerah Saratok, Abdul Rashid Sebai (Penolong Kanan Pentadbiran), Annuar Ahmat, (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid), Mat Tani (Penolong Kanan Kokurikulum) dan Abeida Kuang, Ketua Warden SMK Kabong.