
KUCHING: CENTEXS Commercial mencatatkan jualan sebanyak RM524,000 sejak membuka operasi di bawah Sense of Malaysia dengan kerjasama Malaysia Airports Berhad di sini, hari ini.
Pengurus Besarnya, Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan, menjadikan pencapaian itu sesuatu membanggakan dalam tempoh hanya beberapa bulan.
“Jadi ia adalah satu pencapaian yang amat baik, dalam tempoh beberapa bulan sahaja kita boleh mencecah jualan sebegitu,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pelancaran Rona Wani Aidilfitri X-Travaganza 2.0 Sense of Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
Sehubungan itu, CENTEXS Commercial sedang meneroka kerjasama dengan Malaysia Airports Berhad untuk membuka satu lagi platform di Semenanjung Malaysia, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi lokasi permulaan.
“Hasrat ini sebenarnya telah dibincangkan beberapa tahun lalu, tapi kita mulakan di Kuching terlebih dahulu dan selepas itu KLIA1, KLIA2 dan seterusnya di lapangan terbang lain,” jelasnya.
Beliau turut menggesa para usahawan Sarawak untuk mengambil peluang menyertai projek ini dalam usaha mengembangkan produk warisan negeri ke pasaran lebih luas.
“Inilah salah satu cara kita membantu kerajaan Sarawak dalam mempromosikan industri pelancongan dan membangunkan ekonomi negeri dengan lebih baik,” tambahnya.
Sebelum ini, CENTEXS Commercial turut menerima tawaran untuk membuka cawangan di Langkawi di bawah Malaysia Airports Berhad dan Sense of Malaysia, namun masih belum berkesempatan merealisasikannya. – UKAS