KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd (Celcom) sedang mempercepatkan pelaburan rangkaian sebanyak RM256 juta bagi menaik taraf kapasiti rangkaiannya dan menggunakan lebih banyak menara stesen pangkalan 4G di seluruh negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Idham Nawawi, langkah mempercepatkan pelaburan rangkaian itu akan meningkatkan liputan dan kualiti 4G di kawasan luar bandar dan bandar.
Pelaburan rangkaian Celcom yang dipercepatkan dari 2020 hingga awal 2021 akan disokong lagi oleh perbelanjaan modal yang diperuntukkan dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021.
“Menjelang Februari 2021, Celcom menyasarkan sejumlah 4,700 tapak rangkaian 49 peratus di kawasan bandar dan 51 peratus di luar bandar akan dinaik taraf dan dioptimumkan dengan peningkatan kapasiti, pemasangan peralatan 4G baharu dan program pengoptimuman rangkaian teras.
“Ini juga termasuk menaik taraf dan mengoptimumkan hampir 1,000 tapak rangkaian 4G di Sabah dan Sarawak, meningkatkan liputan 4G Celcom di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Idham berkata Celcom juga akan meneruskan program pengoptimuman kluster nasional di seluruh negara bagi tambahan 3,600 tapak rangkaian, menaik taraf kepada kapasiti yang lebih baik bagi menangani masalah penyanggaan dan memberikan kualiti suara dan video berkualiti kepada pengguna, yang disasarkan siap menjelang Ogos 2021.
Beliau berkata, sejajar usaha mempercepatkan pelaburan rangkaian itu kini merupakan bidang penting yang memerlukan kesalinghubungan, syarikat berharap dapat meningkatkan kualiti dan pengalaman.
“Penambahbaikan ini juga memfokuskan kepada penyampaian liputan dalam bangunan yang lebih baik daripada menara stesen pangkalan LTE 4G, liputan 4G yang lebih luas di kawasan luar bandar, terutamanya di Sabah dan Sarawak, dan meningkatkan kelajuan muat turun.
“Ini akan membolehkan penyampaian definisi tinggi (HD) 720p pengalaman video kepada lebih ramai pelanggan dan meningkatkan kualiti suara dengan Voice-over-LTE (VoLTE),” kata Idham.- Bernama