KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KKWKPK) bersama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sarawak mengadakan perbincangan berkaitan cadangan sumbangan kerajaan untuk pembiayaan caruman i-SURI.
i-Suri khusus bagi isteri kepada Ketua Isi Rumah (IKIR) dan Ketua Isi Rumah Wanita (KIRW) di Sarawak yang berdaftar dalam Pengkalan Data Kemiskinan Nasional (ekasih).
Menurut menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah kalangan suri rumah boleh menyertai i-SURI dan membuat caruman minimum sebanyak RM5 setiap bulan atau RM60 setahun bagi melayakkan mereka menerima insentif daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM480.
Sehingga Jun 2020, 66,120 IKIR dan KIRW di Sarawak berdaftar dengan ekasih dan layak untuk mencarum dalam i-SURI, katanya semasa melancarkan platform iSarawakCare di sini semalam.
“Daripada jumlah tersebut, 25,813 orang mendaftar sebagai ahli KWSP dan i-SURI tetapi hanya 7,538 sahaja yang mencarum.
“Kita sedia maklum sebilangan IKIR dan KIRW yang berdaftar tidak berkeupayaan untuk membuat caruman penuh RM60 setahun. Disebabkan itu, mereka terlepas peluang untuk mendapatkan manfaat yang ditawarkan oleh KWSP,” katanya.
Sehubungan itu, kertas cadangan telah dikemukakan oleh kementerian untuk mendapat pertimbangan dan kelulusan daripada Kabinet Negeri.
“Sekirannya kertas cadangan ini lulus, sumbangan Kerajaan Negeri ini dapat memastikan semua IKIR dan KIRW dapat membuat caruman minimum tahunan yang akan melayakkan mereka menerima insentif penuh,” tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementeriannya juga mengambil maklum i-Saraan merupakan skim simpanan yang boleh memanfaatkan lebih ramai golongan yang tidak berkemampuan atau berpendapatan rendah termasuklah suri rumah.
“Manfaat yang boleh diperolehi oleh pencarum di bawah i-Saraan adalah seperti menerima insentif khas sebanyak 15% yang tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setahun serta boleh juga membuat pengeluaran mengikut syarat yang ditetapkan dan mendapat dividen tahunan.
‘Kita berharap dapat mengemukakan cadangan i-Saraan kepada Kerajaan Sarawak untuk mempertimbangkan kertas cadangan ini bagi meneruskan usaha sama demi kesejahteraan golongan yang kurang berkemampuan sebagai tabung bagi kegunaan mereka pada hari tua,”katanya.
Turut hadir Setiausaha Tetap, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan komuniti, Wanita, keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dr Sa’adiah Abdul Samat, Pemangku Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Mohd Guntor Rajeee dan Ketua Negeri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sarawak, Halim Boweng.
Oleh Jeakqleyn Yacho