SHAH ALAM: Judoka wanita Sarawak, Carmen Lee Jia Wen terpaksa melupakan hasrat membawa pulang pingat gangsa selepas tewas kepada wakil Terengganu, Nur Syaza Irdani Zamani dalam aksi penentuan tempat ketiga kategori bawah 48 kilogram pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.
Beraksi dalam keadaan dibelenggu kecederaan, Carmen tetap turun ke gelanggang pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal(IDCC) Shah Alam bagi meneruskan cabaran Sarawak.
Namun, Nur Syaza lebih menyerlah apabila berjaya melakukan satu Ippon dan satu Yuko untuk mengatasi Carmen yang gagal mengutip sebarang mata dalam pertarungan selama dua minit 32 saat.


Keputusan rasmi menyaksikan wakil Terengganu menang 101-000 untuk mengesahkan pingat gangsa bagi kategori berkenaan.
Meskipun gagal menaiki podium, keberanian Carmen untuk meneruskan saingan dalam keadaan cedera mencerminkan semangat juang tinggi dalam membawa cabaran Bumi Kenyalang di pentas Sukma.
Semangat ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ yang ditunjukkan Carmen sepanjang pertarungan turut menjadi gambaran kesungguhan atlet Sarawak yang enggan menyerah biarpun berdepan keadaan sukar.





