Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 pada Mac 2019 lalu telah mencetus inspirasi seorang suri rumah, Naru novendry Bye Hadi untuk mengusahakan perniagaan kuih jala.
Namun, kuih jala yang beliau jual mempunyai kelainan tersendiri yang mana reka bentuk tradisional roti jala telah digubah dengan sentuhan kreatif iaitu berbentuk kuntuman bunga mawar dan kek.
Lantaran itu, ia berjaya menarik perhatian orang ramai sehingga sering ditempah untuk dijadikan sebagai bahan hantaran atau hidangan istimewa bagi majlis perkahwinan, pertunangan dan Hari Lahir.
“Pada mulanya, saya membuat kuih jala sekadar suka-suka untuk menghilangkan bosan duduk di rumah akibat PKP.
“Akhirnya, saya membuat keputusan untuk berniaga kuih jala yang diberi nama Jala Persona Ammarzahra sempena nama anak saya bagi mencari pendapatan sendiri dan mahu mengurangkan beban suami.
“Kelebihan kuih jala ini adalah berkonsepkn jambangan mawar iaitu kuih jala saya bukan sekadar jala gulung biasa tetapi bentuknya seperti sekuntum bunga mawar,” katanya ketika ditemu Utusan Sarawak.
Beliau bersyukur kerana kuih jala yang dijual mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar Kuching dan ramai telah menjadi pelanggan tetap.
“Salah satu contoh maklum balas daripada pelanggan yang sangat saya gemari ialah mereka memberitahu bahawa mereka sayang hendak makan kuih jala buatan saya sebab terlalu cantik,” katanya.
Tambah Naru, beliau turut menyediakan kuah kuih jala jika ada permintaan daripada pelanggan.
“Kuih jala saya tanpa kuah, tetapi jika ada permintaan daripada pelanggan, barulah saya akan buat. Antara kuah yang saya boleh sediakan ialah kari ayam, rendang, kaya, pandan dan jagung,” katanya.
Berkongsi mengenai cabaran pula, Naru memberitahu, pada awalnya beliau memakan masa yang lama untuk menyiapkan tempahan kerana kurang berpengalaman.
“Pertama kali saya membuat kuih ini, saya memerlukan masa selama tiga jam bagi menyiapkan tempahan satu kotak.
“Sekarang, saya sudah terbiasa dan kini anggarannya dalam satu jam lebih untuk menggulung kuih jala berbentuk bunga mawar,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Malah, katanya, beliau juga kadang-kadang tidak cukup rehat kerana menyiapkan tempahan pelanggan lebih-lebih lagi sebelum ini keluarganya pernah tinggal di rumah flat tingkat empat.
“Cabaran saya ialah semasa tinggal di tingkat empat, saya perlu bawa turun banyak tempahan kuih jala.
“Nak seribu daya tak nak seribu dalih, berusahalah selagi mampu. Saya berharap suatu masa kelak saya dapat menjadikan kuih Jala Persona Ammarzahra semakin dikenali ramai,” katanya.
Oleh SYAHIDA HASSAN