KUALA LUMPUR: Calon-calon bagi jawatan Timbalan Menteri akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri menerusi perkongsian di laman Facebook beliau hari ini.
Anwar turut memaklumkan mesyuarat kabinet mingguan pagi tadi berjalan dengan suasana yang harmoni dan produktif.
“Saya menegaskan bahawa isu-isu rakyat terutamanya masalah kos sara hidup harus diberi tumpuan dan diselesaikan sesegera mungkin,” katanya dalam catatan tersebut.
Pada 3 Dis lepas, dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.
Dua Timbalan Perdana Menteri itu adalah Ahli Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.
Dalam satu lagi catatan, Anwar berkata beliau terbuka menerima cadangan yang lebih baik dalam membantu pesawah miskin di seluruh negara dan tumpuan kerajaan ketika ini ini adalah menggunakan kuasa untuk membela kepentingan rakyat terutamanya pesawah miskin.
“Kalau ada pihak lain yang ingin menyanggah usaha kerajaan dalam membantu pesawah miskin, pihak tersebut dipersilakan mengusulkan alternatif. Saya terbuka menerima cadangan yang lebih baik,” kata Anwar.
Pada sidang media Isnin lepas, Anwar berkata kerajaan pimpinannya akan meneliti isu monopoli import beras yang dikuasai tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary serta meneliti keuntungan beliau yang membeli pegangan Bernas milik Tan Sri Tan Boon Seng dengan harga RM800 juta dan Datuk Seri Shahidan Kassim (RM400 juta).
Anwar turut meminta supaya isu monopoli import beras yang dikuasai Syed Mokhtar tidak dipolitikkan kerana usaha itu berniat membantu pesawah miskin.
— BERNAMA