PUTRAJAYA: Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan menggunakan lambang parti iaitu dacing kerana pengundi sudah biasa dengannya, kata Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ketua Koordinator BN bagi PRN Sabah berkata, tinjauan yang dibuat mendapati pengundi sudah biasa dengan lambang dacing dan perkara itu tidak boleh dipandang remeh.
Menurutnya, biro politik dan Dewan Tertinggi BN yang telah bermesyuarat, telah memaklumkan kepada parti-parti rakan komponen Perikatan Nasional (PN) bahawa calon BN akan menggunakan lambang dacing.
“Walaupun bertanding atas logo BN, parti-parti lain yang nak guna (lambang) PN, tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Town Hall Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Kementerian Wilayah Persekutuan Tahun 2020, di sini semalam.
Beliau berkata, rundingan juga telah dicapai dengan komponen PN untuk tidak akan ada perebutan kerusi untuk ditandingi.
“Soal siapa bertanding dan di mana, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dah diberi mandat dan beliau juga sedang muktamadkan (senarai calon).
“Kita sudah 80 peratus bersedia (dan) rundingan antara parti-parti juga berjalan dengan baik di mana kita telah ada satu persefahaman yang mana kita tidak akan benarkan situasi free for all dalam kalangan parti-parti pembangkang, tetapi pembangkang yang bersatu-padu,” katanya.
Annuar berkata, BN juga bekerjasama rapat dengan rakan daripada PN bagi memastikan kemenangan calon walaupun berlainan logo.
“Kami bekerjasama rapat dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Malah kami akan berkongsi jentera (pilihan raya), kami adalah satu walaupun guna logo yang berbeza,” katanya.
PRN Sabah ditetapkan pada 26 September manakala penamaan calon pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September, dengan sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi. – Bernama