
FORUM Media Hawana yang membuka tirai sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini, diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Khamis, 7 Mei lalu memberi perspektif baharu khususnya untuk pengamal media.
Tiga sesi forum diadakan iaitu bertajuk Sustaining Media in Times of Crisis: Challenges and Revenue Realities (Mengekalkan Media Ketika Krisis: Cabaran dan Realiti Pendapatan), ‘How Journalists Navigate the Evolving Media Landscape’ (Bagaimana Wartawan Mengharungi Landskap Media yang Kian Berkembang” dan ‘Shaping the Future of Malaysian Media in the Digital and AI Era” (Membentuk Masa Depan Media Malaysia dalam Era Digital dan AI).
Lebih 250 peserta termasuk pemimpin organisasi media dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, wakil agensi berita asing di Malaysia serta pelbagai pihak berkepentingan lain, hadir.

Berikut antara intipati perbincangan termasuk soal-jawab:
- Seruan agar media di negara ini menyesuaikan diri dengan perubahan semasa tanpa mengabaikan integriti dan kepercayaan awam.
- Tekanan semasa industri media berikutan perubahan digital, penggunaan teknologi dan perubahan geopolitik.
- Penekanan terhadap perancangan praktikal bagi memastikan kelangsungan bilik berita.
- Dunia kewartawanan hari ini memerlukan pengamal media untuk melangkaui pelaporan konvensional
- Menyesuaikan diri dengan tuntutan platform digital serta khalayak yang dipacu algoritma.
- Wartawan perlu kekal relevan merentasi pelbagai platform, bagi memastikan mereka terus berdaya saing dan mampu mempengaruhi wacana awam.
- Wartawan hari ini perlu melangkaui penyampaian maklumat semata-mata, belajar bagaimana untuk berhubung dengan khalayak secara emosi dan digital, menerusi penceritaan yang berkesan.
- Pengamal media di Sabah dan Sarawak mencadangkan perubahan dalam naratif nasional, dengan menggesa rakan media di Semenanjung supaya tidak lagi terikat dengan stereotaip serta prejudis geografi.
- Organisasi media perlu memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), bukan sekadar untuk mengautomasikan operasi bilik berita, tetapi juga menjana pendapatan melalui data arkib dan pemahaman audiens yang dikumpul sejak beberapa dekad demi memperkukuh kelestarian perniagaan jangka panjang.
- Cabaran utama industri media ialah membina kepercayaan awam serta memastikan media arus perdana terus berkesan dalam membantu masyarakat membuat keputusan bermaklumat ketika krisis.
Inilah hakikatnya kerana zaman sekarang industri media sedang melalui transformasi besar. Cara berita dihasilkan, diedarkan dan digunakan telah berubah secara dramatik.

Generasi yang gemar membaca naskah media cetak saban hari, sudah berkurangan secara drastik jika mengambil kira edaran surat khabar di pasaran yang semakin mengecil.
LENYAP
Malah sudah hampir tiada atau jarang terlihat mereka yang bersarapan pagi di kedai kopi memegang sambil membaca akhbar, sebaliknya masing-masing melekat melihat telefon bimbit.
Oleh itu, pihak organisasi media perlu mengubah pendekatan kerana generasi baharu hari ini tidak lagi membaca surat khabar dan menonton televisyen pada waktu tertentu, tetapi maklumat sampai kepada mereka pada bila-bila masa dalam apa jua bentuk.
Cabaran paling besar ialah monetisation iaitu menjana wang. Sesetengah organisasi media menjual kandungan seperti ‘pay per read’ atau bayaran mingguan/bulanan, tetapi pendekatan pemberitaannya perlu lebih menarik, kerana jika tidak maklumat sama boleh dicapai/dibaca secara percuma di platform lain.

Platform digital telah mendemokrasikan maklumat, namun pada masa sama turut meningkatkan persaingan, mengganggu model pendapatan tradisional dan mencabar amalan editorial yang telah lama wujud.
Pada masa sama, kebangkitan AI sedang membentuk semula operasi bilik berita, daripada penjanaan kandungan dan pengesahan maklumat hinggalah penglibatan audiens serta analisis berasaskan data.
Perkembangan ini membawa peluang dan juga risiko. Walaupun teknologi mampu meningkatkan kecekapan dan memperluaskan capaian secara signifikan, ia turut menimbulkan persoalan penting berkaitan ketepatan, akauntabiliti dan kepercayaan awam.
Dengan berleluasanya perkembangan di media sosial, ditambah pula dengan kandungan janaan AI serta pembabitan ribuan ‘wartawan segera’, maka berlambak juga maklumat hingga orang ramai sukar menentukan sama ada maklumat itu betul atau sebaliknya.

Bekas Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman bagaimanapun berkata wartawan yang mendapat latihan profesional masih mempunyai kelebihan berbanding pencipta kandungan tanpa latihan, kerana mereka memiliki asas kukuh dalam etika, pengesahan fakta dan pertimbangan berita.
Katanya, wartawan hari ini perlu melangkaui penyampaian maklumat semata-mata dan belajar bagaimana untuk berhubung dengan khalayak secara emosi dan digital, menerusi penceritaan yang berkesan.
“Untuk menjadi seorang wartawan yang baik, anda perlu menjadi separuh editor, separuh ahli strategi dan separuh penganalisis data…Anda juga perlu benar-benar mahir di hadapan kamera, kerana orang ramai kini tidak lagi mahu membaca. Mereka hanya mahu mendengar dan menonton,” katanya.
Suhaimi menjadi ahli panel Forum Media Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bertajuk ‘Bagaimana Wartawan Mengharungi Landskap Media yang Kian Berkembang’.

Suhaimi berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penyiaran serta pernah berkhidmat di Kumpulan Media Sarawak, Bernama, Astro Awani dan Media Prima.
PENDEKATAN STEREOTAIP
Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil yang turut serta dalam forum itu, menyindir pendekatan stereotaip serta prejudis geografi terhadap rakan media di Semenanjung.
Katanya, daripada perspektif pengamal media di Sabah, sentiasa wujud stereotaip dalam pelaporan berita dari negeri itu.
“Wartawan di Sabah sentiasa diminta menulis cerita berpusatkan perspektif Persekutuan serta stereotaip bahawa Sabah itu ‘luar bandar dan miskin’. Jadi, apakah naratif sebenarnya?” katanya sambil menambah bahawa isu berkaitan hak Sabah sering dilaporkan dari sudut politik semata-mata, sedangkan beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku sedemikian.
Forum itu sekurang-kurangnya membuka mata pada pihak pengamal media, secara mendalam kerana kekangan yang mereka hadapi serta cabaran ketika AI digunakan secara meluas.
Seperti kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, forum sehari itu berjaya mencetuskan perbincangan bermakna mengenai isu semasa termasuk transformasi digital, perkembangan teknologi serta keperluan industri media untuk terus kekal relevan.
Beliau berkata forum itu turut menerima maklum balas positif daripada rakan media yang menyifatkan topik yang dibincangkan bertepatan dengan keadaan semasa industri.
Terima kasih Bernama atas jemputan untuk turut hadir.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak