
KUCHING: Nama besar dunia seperti Dave Chappelle, Trevor Noah dan Ricky Gervais membuktikan pentas komediri atau stand-up comedy bukan sekadar medium hiburan, sebaliknya platform untuk menyampaikan pandangan sosial dan budaya secara satira serta terbuka.
Di Malaysia, pendekatan sama turut dibawa pelawak Rizal Van Geyzel yang berpendapat penggiat industri itu perlu sentiasa berhati-hati terutama dalam era media sosial yang mudah memutar belit sesuatu kenyataan.
Pemilik nama sebenar Mohamad Rizal Johan Van Geyzel berkata penggiat komedi masa kini berdepan cabaran besar apabila jenaka yang disampaikan di pentas boleh disalah tafsir serta dijadikan bahan serangan di platform dalam talian.
“Di ruang persembahan komedi, penonton datang untuk menikmati hiburan tanpa tapisan dan memahami konteks jenaka disampaikan. Tetapi di media sosial, apa yang dipetik boleh diputar belit,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sesetengah pihak sengaja mencetuskan manufactured anger atau kemarahan terancang di media sosial dengan memanipulasi isu tertentu demi kepentingan sendiri.

“Apabila saya di pentas, saya akan gunakan rujukan budaya dan kaum dalam jenaka secara friendly, tetapi ada pihak yang memutar belit sehingga nampak seperti mahu menghina orang lain, sedangkan itu bukan tujuan sebenar,” katanya.
Rizal berkata insiden kontroversi yang melanda dirinya pada 2022 telah membuka matanya mengenai risiko dunia digital, namun menegaskan ia tidak mengubah pendekatannya ketika membuat persembahan.
Beliau berkata sebaliknya insiden itu menjadikan beliau lebih berwaspada terhadap kandungan yang dikongsikan secara dalam talian.
“Kerjaya stand-up comedy bukan bidang yang mudah kerana peluang masih kecil selain berdepan cabaran bahasa dan budaya untuk menarik minat masyarakat lebih luas.
“Selain itu, budaya membeli tiket untuk menonton persembahan hiburan secara langsung juga masih belum berkembang sepenuhnya di Malaysia termasuk di Kuala Lumpur. Bukan setakat stand-up comedy, teater dan muzikal pun berdepan cabaran sama,” katanya.
Berkongsi tentang penglibatannya dalam bidang komedi, beliau berkata minat itu hasil inspirasi daripada pelawak negara Barat serta tokoh seni tempatan Allahyarham Jit Murad yang terkenal dengan keberanian menyampaikan isu sosial dan politik melalui humor.
“Pelawak sebenarnya bercakap tentang perkara yang ramai fikirkan tetapi tidak berani luahkan. Itu yang saya kagum tentang stand-up comedy.
“Secara peribadi saya lihat seni komedi ini sebagai medium untuk mengubah pengalaman pahit dan cabaran hidup menjadi sesuatu yang positif serta menghiburkan penonton,” katanya.
Untuk rekod, pada 7 Julai 2023, Rizal dijatuhi hukuman denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum menerusi aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok pada Julai 2022. – Bernama