Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • CAAM pantau rapi gangguan operasi penerbangan AirBorneo
  • SEMASA

CAAM pantau rapi gangguan operasi penerbangan AirBorneo

Utusan Sarawak 2 hours ago

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kini memantau rapi gangguan operasi AirBorneo susulan kelewatan, pembatalan serta perubahan jadual penerbangan yang berlaku baru-baru ini sehingga menjejaskan perkhidmatan syarikat itu di Sabah dan Sarawak.

Kenyataan CAAM hari ini memaklumkan bahawa syarikat penerbangan itu mengaitkan gangguan tersebut dengan isu operasi dan penyelenggaraan.

Sambil menegaskan isu keselamatan perlu sentiasa diutamakan dalam operasi penerbangan, CAAM mengingatkan AirBorneo bahawa pengguna yang terjejas perlu terus dilayan secara adil dan mengikut peruntukan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

“AirBorneo diingatkan supaya mengambil semua langkah yang munasabah bagi meminimumkan kesulitan kepada pengguna terjejas dan memastikan pematuhan terhadap kewajipannya di bawah MACPC sambil mengekalkan standard tertinggi keselamatan operasi,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan makluman AirBorneo semalam yang meminta penumpang menjangkakan kemungkinan berlaku kelewatan, pembatalan dan perubahan jadual dalam tempoh beberapa hari mendatang kerana ia masih menguruskan gangguan operasi yang menjejaskan penerbangan di seluruh Sabah dan Sarawak sejak 5 Jun.

CAAM menasihati pengguna yang terjejas untuk menyemak status terkini penerbangan mereka sebelum ke lapangan terbang dan menghubungi AirBorneo secara terus untuk maklumat terkini, bantuan serta pengaturan perjalanan alternatif.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa di bawah MACPC, syarikat penerbangan dikehendaki memberikan maklumat yang betul, terkini dan tepat pada masanya mengenai kelewatan, pembatalan atau perubahan jadual penerbangan termasuk punca gangguan serta pilihan yang disediakan kepada penumpang terjejas.

Menurut CAAM, bergantung pada jenis dan tempoh gangguan, penumpang mungkin berhak menerima penjagaan dan bantuan sewajarnya termasuk makanan, kemudahan komunikasi, penginapan, pengangkutan, penerbangan alternatif ke destinasi akhir atau bayaran balik tertakluk kepada peruntukan MACPC.

CAAM memaklumkan bahawa jika sesuatu perkara belum selesai atau pengguna tidak berpuas hati dengan maklum balas yang diberikan, aduan boleh dikemukakan kepada agensi itu melalui laman sesawang FlySmart di www.flysmart.my atau melalui e-mel di consumer@caam.gov.my atau hubungi talian hotline 1800-18-6966 (dalam Malaysia) atau +602-777 517 (di luar Malaysia).

“Pengguna yang membuat aduan digalakkan untuk memberikan maklumat berkaitan dan dokumen sokongan bagi memudahkan CAAM membuat semakan,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Malaysia, Jepun berupaya perkukuh rantaian bekalan teknologi serantau – PM Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.