
PATTANI: Produk busana Melayu jenama terkenal dari Malaysia mendapat sambutan luar biasa di Wilayah Selatan Thailand sempena persiapan umat Islam di negara ini menyambut kedatangan Aidilfitri.
Tinjauan Bernama mendapati, beberapa butik jenama terkenal Malaysia seperti Elrah Exclusive, Bulan Bintang, Anggun, Gadis Hijabistahub dan Aisy Asyraf di sini, menerima sambutan yang sangat baik dengan kehadiran ramai pengunjung, terutamanya pada hujung minggu sepanjang Ramadan.
Seorang pengunjung, Abdul Hakim Sabudin, 19, yang berasal dari Daerah Banan Seta di Wilayah Yala, sanggup menempuh perjalanan sejauh kira-kira 100 kilometer ke Pattani untuk mendapatkan baju Melayu pilihannya.
“Saya menyukai busana Melayu dari Malaysia kerana fesyen yang moden dan selari dengan trend semasa.
“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut saya ke Pattani untuk membeli pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Menurut Abdul Hakim, harga busana Melayu dari Malaysia juga amat berpatutan, berkualiti, mempunyai banyak pilihan serta saiz.
Seorang lagi pengunjung, Wae Nurman Madiyah, 27, berkata pakaian jenama Malaysia kini menjadi pilihan ramai gadis Islam di Thailand kerana kualiti dan rekaannya yang sesuai dengan peredaran zaman.
“Dahulu, ramai yang terpaksa ke Malaysia untuk mendapatkan jenama-jenama ini. Namun kini, kebanyakan jenama Malaysia telah membuka cawangan di Wilayah Pattani. Promosi seperti beli satu percuma satu turut menarik minat ramai, terutamanya penduduk dari Yala dan Narathiwat,” katanya.
Dalam pada itu, seorang petugas kedai pakaian Malaysia, Fadilah Sahat, 29, berkata kedainya terpaksa mengehadkan jumlah pengunjung yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa disebabkan ruang kedai yang terhad.
“Hampir setiap hari, pengunjung datang berpusu-pusu. Oleh itu, penyelia kedai telah mengarahkan supaya jumlah pelanggan yang masuk dihadkan untuk mengelakkan kesesakan, terutamanya semasa pembayaran,” katanya.– BERNAMA