KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran penurunan pagi ini, didorong oleh kekurangan petunjuk baharu Wall Street selain kebimbangan ketara berkaitan ketidaktentuan dasar Amerika Syarikat (AS).
Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.21 mata kepada 1,592.28 daripada paras 1,597.49 pada akhir dagangan, semalam.
Indeks itu dibuka turun 1.13 mata kepada 1,596.36.
Pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 192 berbanding 129 manakala 241 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,898 tidak diniagakan dan 56 lain digantang dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 323.43 juta unit bernilai RM105.63 juta.
Pasaran AS ditutup semalam bersempena cuti umum manakala dagangan singkat pada Jumaat berkemungkinan menjejaskan lagi pasaran.
Naib Presiden Penyelidik Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, berdasarkan pasaran hadapan, kesemua indeks utama diniagakan secara positif pada masa ini, sekali gus menunjukkan pasaran AS dibuka dengan trajektori meningkat.
Namun, sentimen berhati-hati kekal ketara susulan jangkaan insentif tambahan dari China dan sama ada pihak Rizab Persekutuan AS berkemungkinan menurunkan kadar pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka pada pertengahan bulan depan.
“Di peringkat tempatan, FBM KLCI mengakhiri dagangan semalam di bawah paras 1,600 semula ketika aktiviti memperelok akaun ketara susulan penjualan oleh dana asing dalam sesi tengah hari.
“Susulan sentimen pasaran yang kurang memberangsangkan, kami menjangkakan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah akan lebih suram,” katanya.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd pula percaya cadangan Presiden bakal dilantik, Donald Trump untuk melaksanakan tarif dagangan akan memberi tekanan ke atas inflasi di masa depan.
Faktor sedemikian berkemungkinan mengukuhkan lagi terhadap andaian pihak Rizab Persekutuan AS akan melaksanakan pengurangan kadar faedah secara berperingkat yang akan menjadi dorongan aliran peningkatan di pasaran saham.
“Berikutan itu, peniaga akan terus memantau perkembangan dan data penting ekonomi seperti Indeks Harga Pengguna Eurozone selain Indeks Pengurus Pembelian Chicago dan China,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional susut 40 sen kepada RM13.58 manakala YTL Corp dan Press Petal masing-masing turun empat sen kepada RM2.07 dan RM4.64.
RHB Bank pula berkurangan enam sen kepada RM6.61 manakala Maybank turun dua sen kepada RM10.18.
Maxis yang juga antara syarikat dengan pegangan utama milik taikun perniagaan Ananda Krishnan yang meninggal dunia semalam, kekal pada RM3.51.
Bagi saham aktif, Zen Tech, Sapura Energy dan Pegasus pula masing-masing tidak berubah pada 1.0 sen, 4.0 sen dan 1.0 sen.
Selain itu, Supreme Consolidated yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik 13.5 sen atau 54 peratus kepada 38.5 sen manakala Capital A turun lima sen kepada RM1.04 walaupun mengumumkan prestasi mencatat keuntungan bersih semalam.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas berkurangan 32.34 mata kepada 12,112.89, Indeks FBMT 100 susut 30.51 mata kepada 11,810.78 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 50.05 mata kepada 12,037.52.
Indeks FBM 70 berkurangan 16.06 mata kepada 17,847.14 manakala Indeks FBM ACE naik 4.26 mata kepada 5,153.40.
Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 6.87 mata kepada 19,100.46, Indeks Tenaga turun 2.79 mata kepada 816.60, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 0.37 mata kepada 170.23.
Indeks Perladangan sebaliknya naik 11.09 mata kepada 7,500.29. – Bernama