Bursa Malaysia meningkat dalam dagangan awal

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini walaupun prestasi bercampur-campur di Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 2.00 mata kepada 1,729.71 daripada 1,727.71 semasa ditutup semalam. Indeks petunjuk pasaran dibuka menokok 5.17 mata kepada 1,732.88.

Bagaimanapun, di pasaran lebih menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 211 berbanding 205 manakala 329 kaunter tidak berubah, 1,959 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 224.06 juta saham bernilai RM135.48 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur apabila indeks Nasdaq dan S&P 500 masing-masing merosot berikutan jualan berterusan saham teknologi akibat kenaikan harga minyak mentah dan hasil bon.

“Hasil bon 10 tahun Amerika Syarikat (AS) pula susut sedikit kepada 4.585 peratus.

“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng terus menyusut apabila keyakinan pelabur terjejas akibat data ekonomi China bagi April yang lebih rendah daripada jangkaan memandangkan jualan runcit mencatat pertumbuhan paling perlahan sejak Disember 2022,” katanya kepada Bernama.

Di pasaran tempatan, beliau berkata FBM KLCI ditutup rendah di bawah paras 1,730 mata sekali gus memberi alasan baharu kepada dana asing untuk menjual pegangan mereka.

“Kami melihat pelabur kini cenderung untuk mengelakkan risiko buat masa ini dan dijangka mengambil peluang untuk membeli pada harga rendah apabila indeks menghampiri paras 1,700 mata atau kurang daripada itu.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks berkenaan bergerak dalam julat 1,720-1,735 hari ini,” katanya.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam sentimen mengurangkan risiko, menjejaki prestasi bercampur-campur di Wall Street.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB meningkat tiga sen kepada RM7.83, Tenaga Nasional menambah 12 sen kepada RM14.56, Public Bank susut dua sen kepada RM4.81, IHH Healthcare turun satu sen pada RM9.04 manakala Maybank tidak berubah pada RM11.08.

Antara saham aktif menyaksikan Oppstar meningkat tiga sen kepada 96 sen, TT Vision dan Pharmaniaga masing-masing menambah satu sen kepada 35 sen dan 25 sen manakala GIIB dan TWL masing-masing tidak berubah pada 30.5 sen dan 2.5 sen.

Kaunter paling untung termasuk Sunway Construction yang melonjak 34 sen kepada RM7.44, 99 Speed ​​Mart Retail naik 18 sen kepada RM3.46, Hong Leong Industries menokok 14 sen kepada RM18.62, Westports naik 13 sen kepada RM6.11 dan Petronas Gas meningkat 12 sen kepada RM17.96.

Antara saham paling rugi, Nestle susut 88 sen kepada RM94.52, UMS Integration menyusut 51 sen kepada RM7.89, Hong Leong Bank rendah 18 sen kepada RM21.80, Sam Engineering & Equipment berkurangan 15 sen kepada RM4.51 dan Malaysian Pacific Industries berkurangan 10 sen kepada RM43.10.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 11.34 mata kepada 12,816.11, Indeks FBM Top 100 naik 10.16 mata kepada 12,652.90, Indeks FBM Emas Shariah menokok 11.68 mata kepada 12,760.75, Indeks FBM ACE naik 0.59 mata kepada 4,720.64 tetapi Indeks FBM Mid 70 susut 4.31 mata kepada 18,373.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 7.54 mata kepada 20,110.86, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.01 mata kepada 198.65, Indeks Tenaga susut 2.66 mata kepada 804.41 dan Indeks Perladangan rendah 16.93 mata kepada 8,590.99.- Bernama

Nanta kecewa 17 kerusi DUN baharu mungkin tidak sempat digunakan PRN akan datang

PETRA JAYA: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi kecewa kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan proses persempadanan semula membabitkan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN). Menteri Kerja Raya itu berkata, berikutan itu kemungkinan besar 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. “Penambahan 17 kerusi baharu ini bukan sahaja penting untuk digunakan pada PRN akan datang, malah menjadi asas kepada usaha memperkukuh kedudukan Sarawak di Parlimen menerusi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Pertambahan kerusi DUN itu mempunyai implikasi besar terhadap usaha Sarawak dan Sabah mendapatkan semula satu pertiga perwakilan di Dewan Rakyat bagi melindungi kepentingan kedua-dua wilayah. “Apabila kita mempunyai sedikit lebih daripada satu pertiga kerusi, sebarang pindaan Perlembagaan atau undang-undang yang melibatkan kepentingan Sarawak dan Sabah tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Ahli Parlimen dari kedua-dua wilayah ini. “Itulah implikasi besar penambahan kerusi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, hari ini. Laporan Utusan Sarawak hari ini memetik sumber sebagai berkata bahawa SPR belum lagi menetapkan tarikh sebenar untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak meskipun telah memohon untuk menggunakan ruang di pejabat majlis perbandaran dan pejabat daerah bagi tujuan itu menerusi surat bertarikh 25 Jun lalu. Sidang Khas DUN pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia. Nanta bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa proses persempadanan semula oleh SPR dimulakan terlalu lewat, sekali gus menimbulkan kemungkinan 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada PRN akan datang. “Saya bersetuju dengan pandangan Dato Sri Abdul Karim kerana nampaknya proses itu tidak sepatutnya ditangguhkan sehingga ke tahap ini. “Implikasinya bukan sekadar kita mahu pertambahan 17 kerusi itu, tetapi lebih penting ia menjadi asas untuk meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99 sebelum kita menambah lagi kawasan Parlimen pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata, harapan sebelum ini ialah supaya 17 kerusi baharu itu dapat digunakan pada PRN akan datang sebelum dijadikan asas bagi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Namun nampaknya kita mungkin tidak dapat menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya. Mengulas tempoh lebih setahun yang diambil SPR untuk memulakan proses persempadanan semula selepas usul penambahan kerusi diluluskan DUN Sarawak, Nanta berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai punca kelewatan tersebut. “Kita tidak tahu proses yang perlu mereka lalui, tetapi dalam tempoh lebih setahun itu sepatutnya ia boleh diselesaikan. “Di mana berlakunya kelewatan itu saya tidak mahu membuat spekulasi. Harapan kita memang mahu menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya akan datang, namun nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan,” katanya. Sementara itu, mengulas cadangan mewujudkan kerusi DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit, Nanta berkata beliau mengalu-alukan bukan sahaja cadangan tersebut, malah keseluruhan 17 kerusi baharu yang dicadangkan. “Bukan hanya Melekun, saya mengalu-alukan kesemua 17 kerusi itu jika dapat diwujudkan. “DUN Sarawak telah meluluskan usul berkenaan dan kini cadangan itu perlu melalui proses seterusnya di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan,” katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai senarai penuh cadangan kawasan baharu yang tular kerana belum melihat dokumen berkenaan.