
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kenaikan semalam untuk dibuka tinggi hari ini walaupun petunjuk semalaman daripada Wall Street bercampur-campur dan kebanyakan pasaran serantau memulakan dagangan dengan dicatatkan rendah.
Penganalisis berkata sentimen pasaran meningkat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 akan diadakan dalam tempoh terdekat dan sekali lagi menekankan fokus kerajaan terhadap kestabilan negara serta pemulihan ekonomi.
Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.26 mata atau 0.25 peratus kepada 1,687.52 daripada 1,683.26 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks dibuka tinggi 3.19 mata kepada 1,686.45.
Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh negatif berikutan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 187 berbanding 167 manakala 286 kaunter tidak berubah, 2,035 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 175.69 juta saham bernilai RM102.49 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI mengakhiri aliran penurunan selama seminggu apabila ditutup melepasi paras 1,680 semalam, didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah.
“Kami menjangka indeks diniagakan dalam julat 1,680 hingga 1,695 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM10.64, Public Bank naik lima sen kepada RM4.83, Tenaga Nasional dan CIMB, masing-masing meningkat enam sen kepada RM14.16 dan RM7.41 manakala IHH menurun tujuh sen kepada RM8.72.
Daripada saham aktif, HHRG naik setengah sen kepada 10 sen dan Skyechip meningkat tiga sen kepada RM2.95 manakala Pharmaniaga dan GIIB, masing-masing menurun setengah sen kepada 28.5 sen dan 46.5 sen dan MAG mendatar pada 17.5 sen.
Kaunter paling untung ialah United Plantation meningkat 44 sen kepada RM31.74, Nestle naik 26 sen kepada RM95.38, Hong Leong Bank menambah 22 sen kepada RM21.20, Ajinomoto menokok 10 sen kepada RM14.34 dan Gas Malaysia naik enam sen kepada RM5.47.
Kaunter paling rugi ialah Malaysian Pacific Industries menurun 46 sen kepada RM46.98, UMS Integration berkurangan 21 sen kepada RM8.02, Kelington dan Petronas Gas, masing-masing merosot 18 sen kepada RM7.72 dan RM17.02 serta Hextar menyusut 10 sen kepada RM1.08.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 22.56 mata kepada 12,584.08, Indeks FBM Top 100 meningkat 22.91 mata kepada 12,420.84 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 0.80 mata kepada 12,573.45.
Indeks FBM Mid 70 menurun 2.12 mata kepada 18,363.82 dan Indeks FBM ACE berkurangan 7.41 mata kepada 4,716.53.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 116.39 mata kepada 19,661.88 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.03 mata kepada 198.40, Indeks Tenaga berkurangan 0.08 mata kepada 792.30 dan Indeks Perladangan merosot 3.16 mata kepada 8,695.79. – Bernama