KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati mulai esok sementara menunggu pengumuman beberapa laporan ekonomi termasuk kadar pengangguran Eropah, PMI Pembuatan Caixin China dan data tuntutan pengangguran Amerika Syarikat (AS).
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bagi bursa tempatan, sokongan terhadap indeks petunjuk pasaran dijangka kekal kukuh dan menjangkakan prestasi FBM KLCI terus stabil memandangkan penilaian murah saham tempatan, aliran masuk berterusan dana asing dan peningkatan penyertaan pelabur runcit.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam jajaran 1,440-1,460 pada minggu depan dengan paras ketahanan segera pada 1,460 dan paras sokongan pada 1,440,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu baharu berakhir ini, FBM KLCI diniagakan tidak menentu terutamanya berikutan faktor dari China apabila People’s Bank of China mengurangkan satu daripada kadar faedah utamanya bagi kali kedua dalam tempoh tiga bulan.
Bank pusat China menurunkan kadar utama pinjaman setahunnya kepada 3.45 peratus daripada 3.55 peratus.
Seorang peniaga lain berkata, para pelabur juga memantau ucapan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell pada Simposium Jackson Hole Jumaat depan.
Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI susut 1.68 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,444.41 berbanding 1,446.09 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 0.71 mata kepada 10,662.27, Indeks FBMT 100 turun 4.26 mata kepada 10,343.27, Indeks FBM Emas Shariah melonjak15.46 mata kepada 10,888.97, Indeks FBM ACE mengukuh 10.76 mata kepada 5,274.90 dan Indeks FBM 70 naik 26.79 mata kepada 14,126.31.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.76 mata kepada 169.03, Indeks Tenaga naik 8.89 mata kepada 824.15, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 1.68 mata kepada 16,190.69 dan Indeks Perladangan jatuh 36.97 mata kepada 6,958.83.
Jumlah dagangan mingguan meningkat sedikit kepada 17.10 bilion unit bernilai RM10.71 bilion berbanding 15.57 bilion unit bernilai RM9.19 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 11.77 bilion saham bernilai RM9.39 bilion berbanding 11.24 bilion saham bernilai RM7.99 bilion.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 2.01 bilion unit bernilai RM284.19 juta daripada 1.69 bilion unit bernilai RM251.44 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 3.28 bilion saham bernilai RM1.03 bilion berbanding 2.61 bilion saham bernilai RM943.32 juta sebelumnya. – Bernama