
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mencatatkan dagangan dengan kecenderungan kenaikan sederhana minggu depan, memandangkan pelabur terus menilai pelbagai perkembangan geopolitik luaran yang kompleks.
Kalangan pelabur turut meneliti keadaan makroekonomi domestik yang kekal kukuh serta pemangkin keuntungan penting daripada sektor teknologi Amerika Syarikat (AS).
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata walaupun sentimen pasaran kekal agak positif, namun pelabur dijangka terus sensitif terhadap sebarang perkembangan berkaitan pertemuan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping baru-baru ini.
Beliau berkata ini khususnya selepas tiada perjanjian perdagangan rasmi atau kemajuan dasar yang penting dicapai daripada perbincangan itu.
Ketiadaan kerangka perdagangan yang muktamad menyebabkan pasaran terdedah kepada ketidaktentuan yang didorong laporan berita, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ini memandangkan kecenderungan Trump sebelum ini untuk membuat kenyataan yang mempengaruhi pasaran selepas lawatan luar negara berbanding semasa mesyuarat atau pertemuan itu berlangsung.
“Sebarang retorik baharu berkaitan tarif, sekatan teknologi atau dasar perdagangan melibatkan China pada hujung minggu atau minggu depan boleh mempengaruhi minat risiko serantau dengan pantas, termasuk sentimen terhadap ekuiti Malaysia,” katanya.
Mohd Sedek juga berkata prestasi kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 yang lebih baik daripada jangkaan mengukuhkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi domestik.
Beliau berkata prestasi itu disokong oleh penggunaan swasta yang teguh, keadaan pasaran guna tenaga yang stabil dan momentum perbelanjaan isi rumah yang berterusan.
Angka pertumbuhan terkini itu menunjukkan permintaan domestik kekal sebagai tonggak penstabilan penting bagi ekonomi walaupun ketidaktentuan luaran masih berlanjutan, katanya.
“Bagaimanapun, data KDNK yang lebih kukuh tidak sepenuhnya melindungi Malaysia daripada peningkatan risiko global, khususnya ketegangan geopolitik di ekonomi utama dan kenaikan semula harga minyak mentah global baru-baru ini, yang akhirnya boleh mempengaruhi jangkaan inflasi, dinamik fiskal dan sentimen perdagangan luar,” katanya.
Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 5.4 peratus bagi suku pertama 2026, mengatasi sedikit unjuran awal pada 5.3 peratus.
Bagaimanapun, kadar pertumbuhan itu perlahan berbanding 6.2 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2025.
Menurut bank pusat pertumbuhan 5.4 peratus itu didorong terutama oleh permintaan domestik.
Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia kebanyakannya mencatatkan prestasi rendah sejajar dengan sentimen pasaran serantau yang suram apabila pelabur mengambil langkah berhati-hati susulan kebimbangan baharu terhadap kenaikan harga minyak global dan kemungkinan kesan limpahan inflasi daripada ekonomi utama dunia.
Berasaskan mingguan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.84 mata kepada 1,740.22 daripada 1,748.06 pada minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 35.36 mata kepada 12,894.87, Indeks FBMT 100 kurang 39.22 mata kepada 12,733.31, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 15.46 mata kepada 12,822.85, manakala Indeks FBM Mid 70 naik 20.79 mata kepada 18,505.01 dan Indeks FBM ACE melonjak 131.42 mata kepada 4,742.74.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 252.98 mata kepada 8,585.43, Indeks Tenaga turun 3.42 mata kepada 808.89 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 119.50 mata kepada 20,254.31.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula menokok 5.30 mata kepada 199.95.
Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 21.10 bilion unit bernilai RM16.89 bilion daripada 16.99 bilion unit bernilai RM16.37 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 11.53 bilion unit bernilai RM14.79 bilion daripada 9.54 bilion unit bernilai RM9.54 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran sebanyak 5.86 bilion unit bernilai RM811.42 juta berbanding 5.43 bilion unit bernilai RM752.02 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 3.69 bilion unit bernilai RM1.28 bilion daripada 2.02 bilion unit bernilai RM675.81 juta. – Bernama