
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Selasa, mencerminkan prestasi positif Wall Street semalaman dalam persekitaran jangkaan kesan limpahan minat belian ke dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.48 mata kepada 1,752.79 berbanding 1,745.31 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 3.14 mata lebih tinggi kepada 1,748.45.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 206 berbanding 184, dengan 356 kaunter tidak berubah, 1,919 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 320.30 juta saham bernilai RM166.26 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan memaklumkan bahawa ia menjangkakan pelabur akan terus menumpukan perhatian kepada saham berkaitan teknologi seperti Oppstar dan SkyeChip, selepas Kementerian Ekonomi mengumumkan perkongsian strategik dengan Arm Ltd untuk mengukuhkan keupayaan reka bentuk litar bersepadu (IC) negara.
“Dengan jangkaan peningkatan dalam jumlah cip tempatan mewah, syarikat berkaitan Peralatan Ujian Automatik (ATE) lain bersedia untuk mendapat manfaat daripada perkongsian ini,” katanya.
Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerjasama dengan Arm Ltd untuk meningkatkan keupayaan reka bentuk IC menandakan peralihan Malaysia ke fasa baharu pembangunan industri semikonduktor.
Beliau berkata Malaysia telah lama diiktiraf atas kekuatannya dalam pemasangan, pengujian, dan pembungkusan cip, sambil menambah bahawa negara kini mesti melangkah melangkaui aktiviti hiliran (back-end) kepada keupayaan huluan (front-end), daripada pembuatan kepada reka bentuk, pembangunan harta intelek serta penciptaan teknologi tempatan.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM11.22, Public Bank dan Tenaga Nasional menambah dua sen masing-masing kepada RM4.87 dan RM14.74, CIMB meningkat enam sen kepada RM7.99 dan IHH Healthcare melonjak tiga sen kepada RM8.97.
Bagi saham aktif, Oppstar menambah 15.5 sen kepada 83.5 sen, GIIB naik empat sen kepada 18 sen dan SMRT meningkat masing-masing kepada 1.5 sen dan 29.5 sen, manakala Top Glove merosot 2.5 sen kepada 83 sen dan Zetrix Ai merosot satu sen kepada 84.5 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Nestle naik RM1.20 kepada RM102.40, UMS Integration meningkat 84 sen kepada RM7.96, Malaysian Pacific menokok 78 sen kepada RM41.78, Petronas Dagangan menambah 34 sen kepada RM20.92 dan Allianz Malaysia melonjak 30 sen kepada RM21.58.
Bagi kaunter paling rugi, Hextar dan Hong Leong Industries merosot enam sen masing-masing kepada RM1.15 dan RM18.84, PLB Engineering berkurangan lima sen kepada 70 sen, manakala IOI Properties dan Frontken merosot empat sen masing-masing kepada RM4.42 dan RM4.57.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 35.25 mata kepada 12,966.85, Indeks FBMT 100 naik 38.24 mata kepada 12,809.19, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 25.32 mata kepada 12,869.46, Indeks FBM ACE melonjak 4.90 mata kepada 4,680.70, manakala Indeks FBM 70 susut 15.21 mata kepada 18,546.25.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 84.99 mata kepada 20,391.17, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.04 mata kepada 196.80, Indeks Tenaga menokok 0.33 mata kepada 807.51 manakala Indeks Perladangan melonjak 9.71 mata kepada 8,847.79. – Bernama