
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menyaksikan dagangan rendah pada sesi awal hari ini, menjejaki kerugian semalaman Wall Street di tengah-tengah sentimen waspada kalangan pelabur susulan kecelaruan dasar tarif Presiden Donald Trump.
Pada 9.10 pagi ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.78 mata kepada 1,483.65 daripada 1,486.43, semalam.
Indeks petunjuk utama itu dibuka menokok 0.02 mata pada 1,486.45.
Pasaran secara amnya adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 169 berbanding 110 manakala 231 kaunter tidak berubah, 1,888 tidak didagangkan dan sembilan digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 144.81 juta saham bernilai RM62.69 juta.
Prestasi semalaman Wall Street menyaksikan S&P 500 turun 0.17 peratus kepada 5,396.63, Dow Jones susut 0.38 peratus kepada 40,368.96 dan NASDAQ Composite menguncup sebanyak 0.05 peratus kepada 16,823.17.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup lebih rendah walaupun dibuka meningkat ketika sentimen pelabur menjadi berhati-hati di tengah-tengah ketidakpastian baharu mengenai dasar tarif Trump.
“Ramai peserta pasaran menjangkakan ketidakstabilan berkaitan perdagangan akan berlanjutan.
“Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS turun sedikit kepada 4.34 peratus yang membuktikan pendirian yang lebih berhati-hati,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, Thong, berkata sentimen pasaran mungkin mendapat suntikan rangsangan susulan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia yang mencetuskan rasa optimis terhadap prospek kerjasama ekonomi dan aliran masuk pelaburan.
“Berikutan itu, indeks penanda aras dijangka menyaksikan dagangan dalam julat 1,480-1,500 pada hari ini,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan IHH Healthcare naik 4.0 sen kepada RM6.85, Maybank menokok 1.0 sen kepada RM9.95 manakala CIMB Group dan Tenaga Nasional turun 2.0 sen kepada RM6.68 dan RM13.42 selain Public Bank tidak berubah pada RM4.31.
Bagi saham aktif, Revenue Group dan Elridge Energy masing-masing menokok 1.0 sen kepada 10 sen dan 56.5 sen, Dataprep Holdings naik setengah sen kepada 16 sen, Pertama Digital dan Avangaad masing-masing tidak berubah pada 13 sen dan 28.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM ACE meningkat 11.59 mata kepada 4,549.35.
Indeks FBM Emas turun 26.89 mata kepada 11,012.32, Indeks FBMT 100 susut 26.89 mata kepada 10,796.74, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 35.32 mata kepada 10,818.38 dan Indeks FBM 70 menguncup 65.10 mata kepada 15,485.15.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 7.69 mata kepada 17,819.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.97 mata kepada 144.31, Indeks Tenaga menguncup 3.20 mata kepada 651.68 manakala Indeks Perladangan susut 20.96 mata kepada 7,184.93. – Bernama