
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi, disokong jangkaan pendapatan yang stabil pada 2026 merentas sektor perbankan, utiliti, tenaga dan penjagaan kesihatan, di samping mudah tunai domestik yang kukuh serta persekitaran makroekonomi yang menyokong.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.04 mata atau 0.11 peratus kepada 1,731.64 daripada 1,729.60 ketika ditutup semalam.
Sentimen pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 224 berbanding 173. Sebanyak 369 kaunter tidak berubah, 1,925 tidak diniagakan dan 112 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 210.61 juta saham bernilai RM122.73 juta.
Dalam satu nota, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata status Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga membantu mengekang kesan harga minyak yang tinggi berbanding rakan serantau.
Bank pelaburan itu berkata meskipun KLCI dijangka kekal tidak menentu dan dipengaruhi sentimen semasa, ia menunjukkan daya tahan dengan melonjak semula 39.2 mata atau 2.3 peratus setakat bulan ini bagi April 2026, selepas susut 26.2 mata atau 1.5 peratus pada Mac 2026.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kepada Bernama bahawa penyertaan keseluruhan kekal sederhana apabila pelabur terus berhati-hati, dan beliau menjangkakan indeks penanda aras diniagakan dalam julat 1,725 hingga 1,740 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM11.18 dan CIMB turun dua sen kepada RM7.76, manakala Public Bank naik dua sen kepada RM4.80, Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM14.60 dan IHH Healthcare meningkat tiga sen kepada RM8.84.
Bagi saham aktif, VS Industry susut setengah sen kepada 20.5 sen, manakala UEM Sunrise naik 2.5 sen kepada 67.5 sen dan WCT meningkat 1.5 sen kepada 48.5 sen. Luster Industries dan Velesto Energy masing-masing menambah setengah sen kepada empat sen dan 32.5 sen.
Antara kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries melonjak 26 sen kepada RM37.76, Petronas Gas meningkat 14 sen kepada RM18.10, Telekom Malaysia naik 11 sen kepada RM7.77, manakala Scientex dan Gas Malaysia masing-masing menokok tujuh sen kepada RM3.81 dan RM5.50.
Antara kaunter rugi utama, Petronas Dagangan merosot 34 sen kepada RM20.22, Sam Engineering turun 12 sen kepada RM4.06, KLCC susut sembilan sen kepada RM9.03, manakala Kelington dan MI Technovation masing-masing turun tujuh sen kepada RM6.15 dan RM3.35.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 8.70 mata kepada 12,807.44, Indeks FBMT 100 menambah 8.63 mata kepada 12,642.96 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 16.18 mata kepada 12,745.38.
Indeks FBM 70 bagaimanapun susut 14.42 mata kepada 18,255.55, manakala Indeks FBM ACE meningkat 0.18 mata kepada 4,656.72.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 6.14 mata kepada 20,155.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.12 mata kepada 195.69, Indeks Tenaga meningkat 1.63 mata kepada 832.96 dan Indeks Perladangan merosot 3.66 mata kepada 8,826.80. – Bernama