
KUCHING: Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, menggesa kerajaan negeri supaya segera mengambil tindakan membaiki dan menggantikan kepingan bumbung Pusat Sivik Kuching yang didakwa berbahaya kepada keselamatan awam.
Menurut Chong, beliau menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai sekurang-kurangnya dua kejadian di mana kepingan bumbung dari menara bangunan itu diterbangkan angin kencang.
“Satu kepingan jatuh di halaman rumah berdekatan, manakala satu lagi mendarat berhampiran Kelab Sarawak. Mujurlah tiada sesiapa yang cedera. Namun ini adalah amaran awal,” katanya.
Beliau turut menekankan bahaya kepingan bumbung jenis polikarbonat yang bersaiz kira-kira 20 kaki x 4 kaki.
“Jika ia jatuh dari ketinggian seperti itu, kesannya boleh diibaratkan seperti pisau gergasi yang meluncur ke bawah. Ini bukan hanya soal kerosakan harta benda – nyawa manusia juga dalam bahaya, sama ada penduduk, pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya,” jelas beliau.
Chong turut melahirkan kebimbangan terhadap garis masa yang dilaporkan pihak berkuasa, yang hanya merancang untuk membuka tender kerja pembaikan pada Julai ini.
“Ini bermakna struktur yang berpotensi mengancam nyawa akan terus berada di atas kepala kita selama beberapa bulan lagi. Ini amat tidak bertanggungjawab.
“Kita tidak seharusnya menunggu hingga berlaku tragedi sebelum bertindak. Saya mendesak kerajaan negeri supaya segera menangani isu ini dan menggantikan kepingan bumbung berkenaan tanpa sebarang penangguhan,” katanya.
Oleh Connie Chieng