
BINTULU: Komuniti Kayan perlu memanfaatkan warisan budaya mereka sebagai aset yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi, khususnya dalam sektor pelancongan dan ekonomi kreatif.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, warisan budaya tidak seharusnya dilihat hanya sebagai simbol identiti sesuatu kaum, sebaliknya perlu diperkasa bagi mewujudkan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Warisan budaya masyarakat Kayan merupakan khazanah yang amat bernilai.
“Ia bukan Sahara perlu dipelihara, malah harus diperkasa sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi, khususnya dalam sektor pelancongan dan ekonomi kreatif.
“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar ini, identiti budaya merupakan kekuatan yang tidak ternilai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Steven Kong Kai Seng pada Majlis Makan Malam Perayaan Do Ledoh Persatuan Kayan Sarawak (PKS) Cawangan Bintulu 2026 di sini, semalam.

Tiong berkata, usaha memelihara warisan budaya perlu bergerak seiring dengan pembangunan negeri bagi memastikan identiti Sarawak terus terpelihara dalam arus pemodenan.
Menurut beliau, penglibatan aktif komuniti termasuk generasi muda penting bagi memastikan warisan budaya terus berkembang dan mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Beliau turut menggesa generasi muda agar memperkukuh perpaduan, memelihara budaya serta berani merebut peluang baharu yang muncul seiring dengan pembangunan Sarawak sebagai hab perindustrian karbon rendah yang mampan dan berdaya saing.
Sementara itu, Presiden PKS, Dato Dennis Ngau berkata masyarakat Kayan perlu bersedia menghadapi perubahan ekonomi dan pembangunan negeri dengan memberi penekanan kepada pendidikan serta pembangunan modal insan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan berkata, komuniti Kayan tidak boleh ketinggalan dalam arus pembangunan Sarawak yang kini memberi tumpuan kepada ekonomi digital, teknologi, tenaga hijau, pelancongan dan pendidikan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Menurutnya, masyarakat Kayan perlu melahirkan lebih ramai golongan profesional dan usahawan bagi memastikan komuniti itu terus berdaya saing pada masa hadapan.
“Kalau kita bersatu, suara kita didengar. Kalau kita bersatu, kepentingan kita lebih mudah diperjuang. Kalau kita bersatu, generasi muda kita akan lebih kuat menghadapi masa depan,” katanya.
Dennis berkata, PKS akan terus memainkan peranan memperjuang pembangunan pendidikan dan ekonomi masyarakat Kayan di samping memelihara warisan budaya yang menjadi identiti komuniti berkenaan.
Oleh Carolyne Utih