TATAU: Penduduk setempat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti di sungai dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga, bagi menghindari kehadiran buaya.
Pegawai Daerah Tatau, Jabang Juntan menekankan kepentingan langkah berjaga-jaga itu susulan insiden tragis pada 18 September lalu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki dibaham buaya.
“Saya ingin memberi sedikit nasihat kepada orang awam supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di sungai seperti mandi dan menangkap ikan,,” katanya ketika ditemui di jeti pos operasi di Pekan Tatau, petang tadi.
Beliau mengingatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada terhadap potensi bahaya, terutama di kawasan yang dikenal pasti mempunyai reptila ganas itu.
Dalam perkembangan terbaharu, dua ekor buaya berjaya ditangkap dalam operasi khas membabitkan seorang pawang dari Betong hari ini.
Buaya pertama yang ditangkap berukuran 17 kaki dan dianggarkan seberat dua tan, manakala buaya kedua, yang lebih besar sekitar 18 kaki juga berjaya ditangkap pada sebelah petang.
Hasil daripada proses membelah perut buaya pertama menunjukkan terdapat penemuan beberapa objek, namun pihak berkuasa masih menunggu pengesahan forensik untuk menentukan sama ada objek tersebut berkaitan dengan mangsa.
Dalam pada itu, Jabang juga mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi tersebut dan menegaskan bahawa keselamatan penduduk adalah keutamaan.
Terdahulu, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) melancarkan operasi menangkap buaya di Sungai Tatau, bermula 26 September hingga 7 Oktober ini.
Operasi itu dijalankan oleh Jawatankuasa Tugas Khas yang terdiri daripada SFC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tatau, dengan kerjasama Pejabat Daerah Tatau.
Penduduk diingatkan untuk mematuhi arahan keselamatan dan dilarang melakukan aktiviti di sepanjang lima kilometer ke hulu dan hilir sungai bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
Oleh Carolyne Utih