KUCHING, 15 Oktober: Seekor buaya jantan sepanjang 3.66 meter berjaya ditangkap di kawasan Pantai Teluk Nipah, Santubong, hari ini.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuching dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan reptilia berkenaan di kawasan tersebut.
Susulan laporan itu, pasukan respons APM Kuching bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan pasukan Nemo Hunter digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap buaya terbabit.
Hasil tindakan bersama itu, buaya berkenaan berjaya ditangkap bagi memastikan keselamatan orang awam di kawasan tersebut.

Menurut APM Kuching, pengadu berusia 55 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
APM Kuching turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama dalam menjayakan operasi berkenaan.
Orang awam yang berdepan sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Kuching menerusi talian 082-252940 atau 082-252941, selain talian kecemasan 999.



